
Pengarah Kerjasama Strategik, TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz berkata polisi pemulangan percuma 30 hari akan memberikan lebih jaminan kepada pembeli sambil memacu pertumbuhan jenama dan mewujudkan pengalaman selepas jualan yang adil bagi pembeli serta penjual.
“Keyakinan pengguna merupakan asas sebuah ekosistem e-dagang yang dinamik dan mampan, dan kami komited untuk terus meningkatkan pengalaman membeli-belah dalam talian buat komuniti kami.
“Dengan manfaat polisi ini dan jaminan ketulenan 100%, jenama serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan akan dapat membina kredibiliti, mempercepat kadar penukaran jualan, serta menggalakkan pembelian berulang,” katanya dalam satu kenyataan.
Nur Azre berkata polisi ini juga melindungi penjual daripada tingkah laku penipuan, dengan membenarkan mereka menolak permintaan pemulangan jika keadaan produk tidak memuaskan.
“Selain itu, TikTok Shop akan menanggung kos penghantaran bagi pemulangan atas sebab ‘tidak lagi diperlukan’, sekali gus memberi lebih keyakinan kepada pembeli tanpa membebankan penjual.
“Sejak pelaksanaannya pada awal Jun lalu, rakyat Malaysia kini boleh menikmati pemulangan percuma 30 hari yang dipertingkatkan apabila membeli ribuan produk berjenama tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, pembeli boleh mengenal pasti jenama TikTok Shop Mall secara mudah melalui lencana rasmi ‘Mall’ yang dipapar dengan jelas di sebelah tajuk produk.
Katanya, semua pesanan produk dengan lencana ‘Mall’ dilindungi di bawah polisi pemulangan percuma 30 hari.
Setelah pesanan diterima, pembeli mempunyai tempoh 30 hari untuk memulakan permintaan pemulangan melalui halaman pesanan dalam aplikasi.
Jenama yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang TikTok Shop Mall boleh melayari Akademi TikTok Shop untuk maklumat lanjut di TikTok Shop Mall.