Draf RUU penyalahgunaan dadah dibawa ke Jemaah Menteri Julai ini

Draf RUU penyalahgunaan dadah dibawa ke Jemaah Menteri Julai ini

Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan digubal bagi mengurangkan bilangan penagih di penjara dan menempatkan mereka di institusi atau rawatan pemulihan komuniti.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata draf RUU penyalahgunaan dadah dan bahan akan dibentangkan di Parlimen tahun ini jika diluluskan.
SERDANG:
Draf rang undang-undang (RUU) bagi mewujudkan akta baharu berkaitan penyalahgunaan dadah dan bahan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri Julai ini, kata Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata, sekiranya draf berkenaan diluluskan, beliau berharap ia dapat dibentangkan di Parlimen tahun ini.

“Kami berharap ia dapat dilaksanakan mengikut jadual agar bacaan kali pertama itu dapat dibuat di Parlimen tahun ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni dan sambutan Hari Raya Aidilfitri KDN Madani di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).

Mac lalu, media melaporkan kerajaan dalam usaha menggubal akta baharu, Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) bagi mengurangkan bilangan penagih di penjara dengan menempatkan mereka di institusi atau rawatan pemulihan komuniti.

Mengulas mengenai isu permohonan taraf kewarganegaraan, Saifuddin berkata, KDN menerima hampir 8,000 permohonan kewarganegaraan bagi tempoh minggu pertama bulan ini.

“Satu daripada tumpuan saya adalah kepada permohonan di bawah kewarganegaraan anak angkat yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri,” katanya.

Beliau berkata, golongan berkenaan mempunyai masalah berlarutan sehingga sukar untuk mendapatkan rawatan perubatan dan kemudahan di sekolah.

“Golongan berkenaan akan dilayan seperti orang asing kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri maka itu adalah antara fokus saya,” katanya.

Februari lalu, KDN menyasarkan untuk memproses sekurang-kurangnya 10,000 permohonan taraf kewarganegaraan pada tahun ini.

Mengulas mengenai Malaysia yang berada pada kedudukan ke-75 dalam Indeks Keganasan Global (GTI), Saifuddin berkata, satu kertas akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri Rabu ini berkenaan perkara itu.

“Saya takkan respons pada hari ini kerana saya akan membentangkannya pada Rabu dan akan dikongsikan kepada media jika berminat,” katanya.

Pada 11 Mei, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata, Malaysia berada di kedudukan ke-75 dalam GTI pada 2022 berbanding ke-68 pada 2021, dan pencapaian itu memberi indikasi yang baik terhadap negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.