
Setiausaha agung PH itu berkata beliau bersama Pengerusi PH Anwar Ibrahim bertemu dengan Pengerusi GRS Hajiji Noor dan Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun malam tadi, untuk membincangkan perkara berkaitan PRN Sabah itu.
Turut hadir pada mesyuarat itu Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
“Saya boleh sebut bahawa di antara kedua-dua sudah pun selesai, kecuali satu kerusi yang ada sikit lagi kena diselesaikan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Jabatan Pendaftaran Negara dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara.
Minggu lalu, Saifuddin berkata rundingan kerusi antara kedua-dua gabungan itu telah memasuki peringkat akhir.
Minggu lalu juga dilaporkan PH memuktamadkan rundingan kerusi dengan Barisan Nasional, bagi memastikan mereka tidak bertembung.
PH, BN, dan GRS bersekutu di peringkat persekutuan, namun BN adalah pembangkang di Sabah.
PH mencapai perjanjian berasingan dengan dua gabungan itu, manakala GRS dan BN bersedia untuk bertembung di beberapa kerusi.
PRN Sabah ke-17 akan diadakan pada 29 November, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November, dan pengundian awal pada 25 November.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan. Enam kerusi lagi untuk Adun lantikan.