
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Naim Mokhtar berkata antara akta yang sedang dikaji ialah Akta Mahkamah Syariah, Akta Suruhanjaya Pelantikan Hakim Syarie dan Akta Saraan Hakim Syarie, termasuk pertimbangan mewujudkan skim dan akta persaraan khusus bagi hakim-hakim syarie.
“Kerajaan Madani melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sedang ke arah penubuhan Suruhanjaya Kehakiman Syariah Malaysia yang turut dirancang di bawah RMK13 (Rancangan Malaysia ke-13).
“Buat masa ini, kajian terperinci masih dijalankan di peringkat Jawatankuasa Penggubalan dengan penglibatan agensi-agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan bidang kuasa negeri serta struktur perundangan sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Dewan Rakyat.
Mohd Naim berkata cadangan pindaan di bawah Akta Saraan Hakim Syarie turut melibatkan pelanjutan umur persaraan hakim syarie daripada 60 kepada 66 tahun.
“Cadangan ini termasuk dalam perbincangan di bawah Suruhanjaya dan Akta Saraan Hakim Syarie yang sedang dirangka. Buat masa ini, selagi akta berkenaan belum diwujudkan di peringkat Persekutuan, kedudukan hakim syariah masih tertakluk di bawah akta persaraan penjawat awam sedia ada iaitu 60 tahun,” katanya.
Mengulas mengenai struktur kehakiman syariah, beliau berkata kerajaan juga sedang meneliti penubuhan satu lagi peringkat mahkamah iaitu Mahkamah Utama Syariah seperti yang telah diwujudkan di Perak dan Sabah.
“Insya-Allah, cadangan ini akan dimasukkan dalam Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah yang dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen tahun depan. Antara pindaan terpenting ialah mewujudkan satu lagi lapisan mahkamah selepas Mahkamah Rayuan Syariah bagi Wilayah Persekutuan,” katanya.
Selain itu, Mohd Naim berkata kerajaan terus menyokong usaha menjadikan Hospital Pusrawi sebagai hospital patuh syariah yang berperanan menyediakan rawatan berasaskan nilai ihsan dan rahmah.
Beliau berkata kerajaan juga sedang meneliti langkah strategik untuk memperluaskan konsep hospital patuh syariah ke institusi kesihatan Islamik lain.
Menurut Mohd Naim, usaha itu juga bertujuan memperkukuh peranan dana zakat dan wakaf kesihatan, di samping menjalin kerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi memperkasa sistem kesihatan Islamik negara.