
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata segala kos untuk menghubungkan sistem syarikat bagi tujuan caruman akan ditanggung sepenuhnya Perkeso.
“Tidak timbul isu insentif khas atau potongan cukai untuk menggalakkan syarikat gig membuat pendaftaran dan pencarum sebab mereka adalah diwajibkan di bawah undang-undang baru ini kelak,” katanya ketika sesi penggulungan RUU Perbekalan 2026.
RUU Pekerja Gig 2025 yang diluluskan Parlimen kini dalam proses mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebelum diwartakan untuk memelihara hak dan memperkukuh kebajikan pekerja dalam sektor gig dalam negara.
Selepas diwartakan dan dikuatkuasakan, RUU itu akan membolehkan pekerja sektor berkenaan antaranya mempunyai akses kepada mekanisme aduan jika ada sebarang pertikaian dan mempunyai hak berpersatuan selain perlindungan menyeluruh bawah Perkeso.
Mengulas lanjut, Sim berkata caruman Perkeso tidak terhad kepada pekerja e-panggilan dan p-panggilan semata-mata.
Beliau berkata, pekerja gig dalam semua sektor yang menggunakan sistem platform digital tertakluk kepada kewajipan mencarum Perkeso.
Sementara itu, beliau berkata kementerian akan mengarahkan Perkeso mengkaji cadangan untuk memperkenalkan skim insuran pendapatan gig.
“Saya percaya cadangan ini adalah berlandaskan skim insurans pekerjaan (SIP) bawah Akta 800 untuk pekerja konvensional.
“Buat masa ini sememangnya SIP belum diperluaskan kepada pekerja gig. Namun, saya mengarahkan Perkeso mengkaji kebolehlaksanaan skim ini atau skim seumpamanya untuk pekerja gig,” katanya.
Sim turut memaklumkan bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu, bilangan yang mencarum bawah Skim Lindung Kendiri Perkeso seramai 846,907 orang.
Bagi pemandu e-panggilan dan p-panggilan adalah 290,122 orang.