
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata langkah itu sebahagian tindakan bersepadu yang merangkumi aspek pendidikan, pencegahan dan penguatkuasaan.
Beliau berkata, antara fokus utama lain ialah memperkukuh peranan pegawai perhubungan sekolah (PPS) dalam membimbing pelajar mengenai disiplin dan keselamatan siber, menggiatkan kempen kesedaran keselamatan bersama Kementerian Pendidikan (KPM) serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
“KDN menyokong pendekatan menyeluruh yang memberi tumpuan kepada peningkatan sistem sokongan kesihatan mental mesra belia di sekolah dan komuniti, penguatkuasaan jelas dengan tindakan konsisten terhadap penyalahgunaan peranti, buli siber dan eksploitasi digital,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurutnya, pemantauan serta penyesuaian dasar berterusan juga perlu bagi memastikan langkah itu kekal relevan dengan perkembangan teknologi.
Saifuddin berkata, usaha itu turut membabitkan penglibatan KPM, Kementerian Kesihatan (KKM), PIBG, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan platform digital.
“Selain itu, pendidikan literasi digital yang mantap perlu diberikan bagi membentuk pelajar beretika dan bertanggungjawab dalam dunia maya.
“Akauntabiliti platform serta keselamatan melalui reka bentuk (safety by design) juga penting supaya syarikat teknologi turut memainkan peranan dalam melindungi pengguna bawah umur.”
Tegasnya, isu keselamatan digital pelajar bukan hanya berkaitan disiplin sekolah, tetapi tanggungjawab nasional yang memerlukan kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan, ibu bapa, komuniti dan industri teknologi.
Katanya, langkah itu bukan untuk menyekat kebebasan, tetapi bagi melindungi masa depan generasi muda agar mereka membesar dalam persekitaran pembelajaran selamat, berdisiplin dan sejahtera secara mental serta digital, selaras aspirasi Malaysia Madani.
Semalam, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Jemaah Menteri menyarankan tiga langkah menangani isu keselamatan di sekolah, termasuk melarang penggunaan telefon pintar bagi pelajar 16 tahun ke bawah.
Beliau berkata, larangan itu bagi membendung masalah disiplin, pengaruh media sosial serta permainan dalam talian yang kerap mencetuskan tingkah laku negatif, termasuk kes buli dan jenayah di sekolah.