Muda bantah pengampunan untuk Najib

Muda bantah pengampunan untuk Najib

Pengampunan itu, kata Muda, membawa mesej salah kepada orang ramai.

Najib Razak sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta kerana rasuah membabitkan dana SRC International RM42 juta.
PETALING JAYA:
Muda berharap Lembaga Pengampunan akan menolak permohonan Najib Razak untuk pengampunan atas sabitan rasuahnya.

Jawatankuasa eksekutif pusat Muda berkata, pendirian rasminya adalah membantah sebarang usaha untuk menyelamatkan “kleptokrat” yang menyebabkan “kerosakan” kepada negara.

“Pengampunan Najib yang didapati bersalah bukan satu, tetapi tujuh pertuduhan bakal memberikan mesej yang salah kepada rakyat Malaysia.

“Adakah rakyat biasa yang didapati bersalah atas jenayah sama akan diberi keistimewaan ini?” soalnya dalam kenyataan.

Muda berkata, pengampunan untuk Najib yang baru menjalani hukuman penjara akan membawa mesej bahawa mana-mana individu berpengaruh dan mempunyai hubungan kuasa, tidak perlu gusar dengan undang-undang.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan atas pertuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan RM42 juta dana SRC.

Pada 28 April lalu, FMT melaporkan Lembaga Pengampunan tidak membincangkan permohonan Najib untuk pengampunan diraja, walaupun dikatakan telah menjadualkan mesyuarat pada hari itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.