Terima rasuah RM800, 2 anggota polis dijel 6 bulan

Terima rasuah RM800, 2 anggota polis dijel 6 bulan

Mahkamah Sesyen juga mendenda RM2,000 terhadap Nur Fikri Mohd Fadzilee dan Mohd Fazly Hambali selepas dapati pembelaan mereka tidak munasabah.

kl high court
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mendapati Nur Fikri Mohd Fadzilee dan Mohd Fazly Hambali bersalah menerima rasuah RM800 sebagai balasan tidak melakukan tangkapan dan melaporkan kesalahan khalwat, lima tahun lepas.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 terhadap dua anggota polis selepas didapati bersalah menerima rasuah RM800 sebagai balasan tidak melakukan tangkapan dan melaporkan kesalahan khalwat, lima tahun lepas.

Hakim Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Nur Fikri Mohd Fadzilee, 28, dan Mohd Fazly Hambali, 39, yang masing-masing berpangkat Lans Koperal dan Koperal selepas mendapati pembelaan mereka tidak munasabah serta tidak boleh dipercayai.

“Mahkamah juga mendapati kedua-dua tertuduh gagal untuk menjawab anggapan di bawah Seksyen 50(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 di bawah imbangan kebarangkalian,” katanya.

Rosli memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini dan mereka dipenjara dua bulan lagi, sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, mereka dengan niat bersama didakwa memperoleh wang tunai RM800 daripada seorang pegawai polis yang baru menamatkan latihan dan pasangannya yang disyaki berkhalwat dalam sebuah kenderaan antara 12 tengah malam dan 2.20 pagi 1 Okt 2020 di sebuah hentian bas di Presint 8, Putrajaya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fadhly Mohd Zamry serta Pegawai Pendakwa Mohd Hanafi Firdhaus Abd Latif manakala Nur Fikri diwakili peguam Muhammad Afiq Audy Basharudin dan Fazly tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.