
Dalam pemeriksaan balas di Mahkamah Sesyen, Bung menegaskan semua rundingan berkaitan bayaran pengenalan itu dilakukan sepenuhnya antara isterinya, Zizie Izette Abdul Samad, dengan Norhaili Mokhtar, seorang ejen di Public Mutual Berhad.
“Saya tiada kaitan dalam perkara itu,” kata bekas pengerusi bukan eksekutif Felcra itu.
Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Low Chin How, Bung juga menafikan beliau pernah mengarahkan ketua pegawai kewangan Felcra ketika itu, Azmy Abu Samah, supaya memaklumkan kepada Norhaili bahawa Zizie akan menguruskan penerimaan wang itu.
Low: Norhaili meminta Zizie mengurangkan jumlah daripada RM3 juta kepada RM2.8 juta, tetapi dia memberitahu Norhaili supaya bertanya kepada anda sebaliknya?
Bung: Tidak benar. Itu satu andaian jahat.
Low: Norhaili kemudian memaklumkan kepada anda bahawa dia perlu menampung kos lain dan bertanya sama ada boleh membayar RM2.8 juta?
Bung: Tidak benar.
Low: Anda bersetuju jumlah itu dikurangkan kepada RM2.8 juta dan mengarahkan Zizie menguruskan penerimaan wang tersebut?
Bung: Tidak benar.
Low kemudian menegaskan Norhaili dan rakannya, Madhi Hamid, telah menerima komisen RM5.6 juta daripada Public Mutual kerana berjaya mendapatkan pelaburan itu.
Beliau mendakwa Bung mengambil separuh daripada jumlah itu atas alasan bayaran pengenalan.
Peguam Bung, Ridha Abdah Subri, membantah soalan itu dan berkata ia tidak termasuk dalam keterangan lisan dikemukakan semasa kes pendakwaan.
“Itu maklumat diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bukan sebahagian daripada keterangan lisan. Kami akan bangkitkan isu ini dalam hujahan,” katanya.
Sebagai balasan, Low berkata beliau menerima bantahan itu, namun menegaskan soalan itu hanya ditujukan kepada saksi.
“Tidak benar,” jawab Bung terhadap dakwaan Low.
Bung berdepan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Ketua Umno Sabah itu didakwa menerima rasuah daripada Madhi melalui Zizie di cawangan Public Bank Taman Melawati antara jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015.
Beliau juga berdepan pertuduhan berasingan menerima RM337,500 daripada Norhaili atas nama Zizie di bank sama pada 19 Jun 2015.
Zizie pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan Bung dalam pelaksanaan kesalahan yang didakwa itu.
Perbicaraan di hadapan hakim Rosli Ahmad akan bersambung pada Jumaat.