
Hakim Alice Loke memutuskan syarat dicadangkan dalam larangan bersuara itu ‘terlalu luas’.
“Saya tidak fikir terdapat risiko nyata terhadap keadilan perbicaraan,” katanya.
Loke juga maklum bahawa ‘banyak yang telah diperkatakan di khalayak umum (mengenai titah adendum itu)’.
Kerajaan memohon larangan bersuara sementara menunggu pelupusan permohonan semakan kehakiman Najib mengenai perkara berkenaan.
Pendengaran ditetapkan pada 24 Nov.
Loke juga menolak permohonan kerajaan untuk menyimpan dokumen mahkamah dalam kes itu daripada diakses orang awam.
Mahkamah mengenakan kos RM20,000 kepada kerajaan.
Prosiding itu berkaitan dengan titah adendum yang didakwa diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, yang membolehkan Najib menjalani baki pemenjaraan bawah tahanan rumah.
Najib disabit bersalah menyalahgunakan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dan sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang, sejak 23 Ogos 2022.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kemudiannya mengurangkan tempoh penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, selain mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Semakan kehakiman itu difailkan tahun lalu bagi memaksa kerajaan melaksanakan titah adendum untuk menempatkannya bawah tahanan rumah.
Najib mendakwa titah tersebut itu tidak diumumkan Lembaga Pengampunan, dan menganggap kerajaan telah menghina mahkamah kerana tidak melaksanakannya.