
Yeoh daripada University of Nottingham Malaysia berkata, walaupun seruan untuk autonomi lebih besar semakin mendapat sambutan, kebanyakan rundingan persekutuan-negeri di Malaysia masih bersifat ‘ad hoc’, didorong oleh pengaruh politik, bukan kerangka kerja yang sistematik dan terinstitusi.
“Negeri-negeri di Malaysia tidak selaras dalam tuntutan mereka untuk desentralisasi yang lebih besar,” katanya.
“Tuntutan individu secara ‘ad hoc’ tanpa usaha bersepadu yang sistematik berisiko mewujudkan konsesi tidak sama rata diberikan kepada negeri-negeri berbeza, bergantung pada tahap ‘kekuatan politik’ atau kehebatan mereka berunding. Ini boleh menyuburkan rasuah dan budaya Ali Baba,” kata Yeoh.
Tekanan fiskal dorong desentralisasi
Yeoh, penulis buku ‘Managing State-Federal Relations’ terbitan Institut ISEAS-Yusof Ishak berkata, pendorong utama di sebalik tuntutan negeri untuk desentralisasi ialah tekanan fiskal.
“Negeri-negeri kian terhimpit oleh kekangan sumber. Beberapa negeri kecil, umpamanya Pulau Pinang, memiliki tanah yang terhad sama ada untuk dipajak atau dijual. Oleh kerana tanah merupakan salah satu daripada sumber pendapatan kerajaan negeri yang tidak seberapa, keadaan ini menyusutkan perbendaharaan fiskal, lantas membatasi kemampuan mereka untuk menyalurkan manfaat kebajikan kepada para pengundi.
“Pemacu utamanya ialah fiskal. Bagaimanapun, negeri-negeri wajar menyuarakan hujah yang lebih mantap untuk autonomi dasar juga, di mana peruntukan kewangan boleh disalurkan selaras dengan fungsi dasar sebenar yang dapat diambil alih sebahagiannya,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa dominasi persekutuan terhadap hasil minyak, gas dan percukaian mengakibatkan negeri-negeri terpaksa bergantung pada sumber-sumber terhad seperti tanah dan perhutanan.
Menurutnya, langkah memperbanyak urus niaga perkongsian hasil yang khusus tanpa melakukan reformasi terhadap kerangka fiskal akan mengundang risiko pengagihan semula yang tidak terancang, ketidakcekapan dan pertelagahan, merujuk kes Petronas di Sarawak sebagai contoh.
Elak konsesi cenderung politik
Yeoh berkata, kuasa fiskal dan pentadbiran yang diserahkan kepada negeri tidak seharusnya diberikan berdasarkan tawar-menawar politik atau kepartian.
“Autonomi fiskal dan pentadbiran yang diberikan kepada negeri tidak sepatutnya berdasarkan fahaman politik atau kelebihan tawar-menawar – contohnya, sebuah negeri yang lebih kaya, atau lebih ramai penduduk, justeru lebih banyak pengundi – tetapi harus melalui kaedah yang lebih programatik dan terinstitusi.
“Ini bermakna keputusan tentang bagaimana sumber diagihkan ke peringkat bawahan bersifat bebas politik dan tidak dipengaruhi oleh sama ada negeri-negeri tersebut sehaluan dengan kerajaan persekutuan atau tidak,” katanya.
Petronas-Petros sebagai proksi pertarungan
Mengenai perbalahan yang sedang berlaku antara Petros milik Sarawak dan Petronas, Yeoh berkata, kejelasan diperlukan untuk mengelakkan ketidakstabilan institusi yang lebih lanjut.
“Dalam kes khusus Sarawak, kejelasan mesti diberikan tentang bagaimana pertikaian Petros dan Petronas akan diselesaikan, sehingga ke perincian yang paling halus,” katanya.
“Model ‘agregator bersama’ boleh diterokai, di mana Petronas mengekalkan pengawasan persekutuan ke atas eksport, tetapi firma negeri seperti Petros mengambil bahagian dalam peruntukan hiliran, bagi memastikan kesinambungan perniagaan dan pengiktirafan negeri.”
Secara lebih meluas, beliau menyeru agar pembaharuan dibuat pada kerangka fiskal persekutuan-negeri, termasuk menerbitkan sekurang-kurangnya minit mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang telah disunting; memberikan negeri kuasa percukaian alternatif seperti cukai jualan dan perkhidmatan atau cukai hartanah kosong; berkongsi sebahagian hasil cukai penggunaan persekutuan dengan negeri; dan menubuhkan suruhanjaya geran bebas atau majlis antara kerajaan untuk menentukan pindahan fiskal ke bawah berdasarkan formula.
Menuju federalisme baharu
Yeoh berkata, federalisme Malaysia sedang berevolusi daripada ‘federalisme bergabung’ – di mana negeri-negeri melepaskan autonomi untuk membentuk persekutuan – kepada ‘federalisme bertahan’, di mana kerajaan persekutuan mesti menyerahkan kuasa untuk mengekalkan keutuhan negara.
“Tiada cara yang betul atau salah dalam menguruskan sebuah persekutuan, tetapi jawapannya terletak pada usaha membawa semua pihak bersama dalam perbincangan serius untuk berunding dan membuat keputusan, memandangkan keadaan ini tidak dapat dikekalkan dalam jangka masa panjang untuk terus wujud rungutan mengenai kekurangan autonomi, dan lebih penting lagi, pengagihan kuasa fiskal dan pentadbiran yang tidak seimbang, yang mana negeri-negeri tidak akan berpuas hati.
“Jika kita percaya perlu untuk terus menjadi sebuah persekutuan, maka secara kolektif semua pihak yang mewakili kerajaan persekutuan dan setiap kerajaan negeri perlu membentuk satu platform perbincangan yang tetap,” katanya.
Tambahnya, komitmen di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perjanjian 18/20 Perkara mesti dihormati, termasuk pengagihan royalti minyak yang lebih adil, hak imigresen, dan ‘pemborneoan’ dalam pelantikan perkhidmatan awam.
“Status asal Sabah dan Sarawak sebagai wilayah, bukan sekadar ‘negeri’, mesti ditegakkan, seperti yang termaktub dalam pindaan perlembagaan baru-baru ini pada Perkara 1(2). Pengiktirafan ini harus menjadi panduan dalam hubungan persekutuan-negeri,” katanya.
Akhir sekali, Yeoh berkata, federalisme Malaysia mesti dipandu oleh komunikasi yang jelas dan kemas kini yang kerap ‘untuk mengelakkan maklumat salah, manipulasi politik, dan ketidakpercayaan yang lebih lanjut antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri’.