
Beliau menegaskan pengampunan untuk bekas presiden Umno itu bukan pendirian kerajaan dan tidak pernah dibicangkan dalam Jemaah Menteri.
“Isu itu pendirian Umno sebagai parti politik … ia tidak pernah dibawa ke Jemaah Menteri,” katanya, pada sidang media.
Loke yang juga setiausaha agung DAP mengingatkan bahawa sesiapa yang disabit kesalahan oleh mahkamah boleh mohon pengampunan, proses yang beliau sifatkan sebagai adil kepada semua pihak dan biasa.
“Sama ada dibenarkan atau tidak terpulang kepada Agong. Untuk kita (kerajaan), kita menaruh kepercayaan kepada proses sewajarnya dan kebijaksanaan Agong untuk buat keputusan yang terbaik.”
Majlis Kerja Tertinggi Umno minggu lepas mengumumkan ia ingin menghadap Agong bagi memohon baginda mempertimbangkan pengampunan penuh buat bekas perdana menteri Najib, yang sedang menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah dalam kes berkait dana SRC International.
Perkembangan ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib yang memohon sabitan dan hukuman dalam kes itu disemak.
Penolakan itu bermakna sabitan bersalah terhadap Najib bagi tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan, dan pengubahan wang berkait dana RM42 juta milik SRC International; serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, yang dijatuhi pada 23 Ogos tahun lepas kekal.