
Keputusan itu bermakna minuman beralkohol masih boleh dihidangkan pada majlis perkahwinan, acara kebudayaan dan makan malam kutipan derma yang berlangsung di dewan sekolah vernakular Cina.
Akhbar berbahasa Cina itu melaporkan bahawa Kabinet memutuskan untuk mengekalkan peraturan sedia ada di bawah Kementerian Pendidikan dan tidak akan memperkenalkan sekatan baharu.
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook daripada DAP turut mengesahkan perkara itu.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat yang minuman beralkohol tidak boleh dihidangkan di sekolah, termasuk bagi acara diadakan selepas waktu persekolahan.
Beliau turut berkata Kementerian Pendidikan sedang meneliti semula peraturannya mengenai perkara itu.
Beberapa menteri Cina termasuk Loke, Nga Kor Ming, Chang Lih Kang dan Tiong King Sing dilaporkan membantah cadangan untuk meluaskan larangan itu ke sekolah Cina dalam mesyuarat Kabinet hari ini.
Beberapa menteri Umno juga dikatakan memahami situasi tersebut dan mengakui penyewaan dewan membantu sekolah-sekolah yang diurus secara bebas itu menjana dana.
Terdahulu, Ahli Parlimen Tebrau daripada PKR, Jimmy Puah, turut menggesa kerajaan supaya mengecualikan sekolah vernakular daripada larangan menghidang minuman beralkohol, dengan alasan banyak sekolah bergantung pada hasil sewaan dewan untuk menampung kos operasi mereka.