
Ketua Biro Pendidikan dan Mahasiswa Pemuda PKR Fadzli Roslan berkata, badan bebas melibatkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), alumni, polis, komuniti serta NGO itu boleh membantu memantau situasi di sekolah secara menyeluruh.
Selain itu, beliau mencadangkan agar KPM menubuhkan unit khas siasatan buli di setiap sekolah serta pemasangan CCTV di kawasan berisiko.
“Pemantauan ini penting bukan untuk menghukum, tetapi untuk melindungi dan memulihkan keyakinan anak-anak kita,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, cadangan itu antara enam langkah komprehensif di bawah kempen #KitaJagaSekolahKita yang dikemukakan Pemuda PKR kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam pertemuan hampir sejam di Putrajaya, hari ini.
Langkah lain yang dicadangkan termasuk usaha pencegahan melalui latihan kesedaran trauma kepada guru dan warden asrama, serta pengenalan modul pendidikan ibu bapa menerapkan pendekatan bahawa pencegahan buli perlu bermula dari rumah.
Turut dicadangkan ialah reformasi kurikulum agar nilai-nilai sivik, moral dan empati diajar bukan sekadar secara teori, tetapi dipraktikkan melalui kegiatan dan budaya harian sekolah, diikuti usaha pemulihan melalui sistem sokongan psikososial serta pelan intervensi antibuli.
“Kita perlu memastikan semua tindakan ini bukan hanya cantik di atas kertas, tetapi benar-benar berlaku di lapangan,” katanya.
“Isu buli tidak boleh diselesaikan dengan mencari siapa salah. Ia hanya akan selesai apabila kita semua memilih untuk mengambil tanggungjawab bersama.
“Guru tidak boleh berjuang seorang diri. Ibu bapa perlu jadi rakan kongsi sekolah. Komuniti mesti menjadi mata dan telinga yang prihatin.”
Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga jurucakap kerajaan kerajaan berkata, Jemaah Menteri telah membincangkan langkah menaikkan had umur minimum pengguna media sosial kepada 16 tahun, berbanding cadangan 13 tahun sebelum ini, dalam usaha menangani kes buli dan jenayah keganasan dalam kalangan pelajar.