Hubungan Malaysia-Bahrain berpotensi ruang kerjasama lebih besar, titah Agong

Hubungan Malaysia-Bahrain berpotensi ruang kerjasama lebih besar, titah Agong

Sultan Ibrahim bertitah Bahrain adalah rakan strategik penting bagi Malaysia dan berharap dapat diperkukuh dalam aspek ekonomi seiring Visi Ekonomi Bahrain 2030.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam Majlis Santapan Negeri dianjurkan Raja Bahrain Raja Hamad Isa Al Khalifa di Istana Sakhir malam tadi. (Gambar Bernama)
MANAMA:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah hubungan diplomatik serta jalinan persahabatan erat antara Malaysia dengan Bahrain berpotensi untuk ruang kerjasama lebih besar.

Sultan Ibrahim bertitah, Bahrain merupakan rakan strategik penting bagi Malaysia dan berharap dapat diperkukuh dalam aspek ekonomi seiring Visi Ekonomi Bahrain 2030.

“Bahrain dan Malaysia saling menghormati dan mempunyai semangat persaudaraan, berkongsi nilai, aspirasi serta komitmen terhadap keamanan, kesejahteraan dan kemajuan untuk rakyat.

“Saya harap lawatan negara ini akan membuka lembaran baharu dalam membentuk hala tuju masa hadapan perhubungan kedua-dua negara,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam titah ucapan sebelum diraikan pada Majlis Santapan Negeri yang dianjurkan oleh Raja Bahrain Raja Hamad Isa Al Khalifa di Istana Sakhir malam tadi, bersempena Lawatan Negara Seri Paduka Baginda ke negara itu selama tiga hari.

Sementara itu, Raja Hamad turut menzahirkan komitmen ke arah menjadi rakan strategik jangka panjang yang ikhlas dan membina untuk Malaysia, dengan mengeratkan kerjasama dalam pelbagai bidang.

“Pertumbuhan Malaysia yang memberangsangkan telah dicapai melalui kecemerlangan dalam bidang perniagaan, perindustrian dan pertanian yang merupakan bidang-bidang yang turut menjadi kekuatan Bahrain.

“Oleh itu, kita mempunyai banyak peluang untuk saling memperoleh manfaat dalam sektor seperti perbankan, teknologi kewangan, pelancongan, pertanian dan pembangunan infrastruktur.

“Tuanku dan negara Tuanku telah menjadi saudara serta sekutu setia kepada Bahrain, dan sebagai penghargaan atas kunjungan Tuanku ini, saya dengan tulus berharap agar persahabatan kita akan terus berkembang dan makmur pada tahun-tahun yang akan datang,” titah Raja Hamad.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Istana Sakhir, Zallaq malam tadi disambut oleh Raja Hamad, Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain Putera Salman Hamad Al-Khalifa serta keluarga diraja Bahrain.

Pada majlis itu, Sultan Ibrahim diiringi Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.

Seri Paduka Baginda tiba di sini pada Khamis, selepas menyempurnakan lawatan negara empat hari ke Arab Saudi.

Lawatan ini merupakan lawatan negara keenam Sultan Ibrahim selepas Singapura, China, Brunei, Rusia dan Arab Saudi, sekali gus menjadi detik bersejarah hubungan Malaysia–Bahrain sebagai lawatan diraja pertama sejak 1974.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.