
“Saya ada dengar (mengenai peletakan jawatan Ewon) melalui berita, tetapi Selasa ini ada mesyuarat Jemaah Menteri, dan kita akan dengar penerangan daripada perdana menteri,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Nasional Amanah hari ini.
Ewon mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri pembangunan usahawan dan koperasi malam tadi, menyatakan beliau tidak bersetuju dengan pendirian Jabatan Peguam Negara berhubung tuntutan hak 40% hasil persekutuan yang dikutip dari Sabah.
Apabila ditanya sama ada peletakan jawatan Ewon akan menjejaskan kedudukan Pakatan Harapan (PH) di Sabah, Mohamad yang juga presiden Amanah berkata, beliau tidak menganggap perkara itu akan membawa impak yang besar.
“Saya tak rasa begitu … Saya tak tahu tentang agihan kerusi muktamad (bagi PRN Sabah akan datang), tetapi saya rasa akan berlaku pertembungan di negeri. Tetapi, semua masih di bawah kerajaan persekutuan,” katanya.
Berhubung kemungkinan Jemaah Menteri dirombak susulan pengunduran Ewon, Mohamad berkata, masih terlalu awal untuk beliau memberi komen tentang perkara itu.
“Kita nak dengar penjelasan perdana menteri dahulu … jadi saya tak mahu komen apa-apa lagi mengenai hal itu,” katanya.
Minggu lepas, Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abd Kadir memberi bayangan akan berlaku rombakan Jemaah Menteri dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.
Sementara itu, apabila ditanya pemberita sama ada sudah ada senarai rombakan, Anwar secara berseloroh menjawab: “Tolong beri cadangan, kalau ada.”