Keputusan tolak kerajaan perpaduan ikut dasar parti, kata bekas pegawai Muhyiddin

Keputusan tolak kerajaan perpaduan ikut dasar parti, kata bekas pegawai Muhyiddin

Marzuki Mohamad berkata tindakan pengerusi Perikatan Nasional menolak cadangan itu dibuat selaras dengan dasar Bersatu yang tidak akan bekerjasama dengan DAP.

Bekas ketua setiausaha sulit kepada Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad berkata Presiden PAS Abdul Hadi Awang turut hadir semasa mengadap Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selepas PRU15. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas ketua setiausaha sulit kepada Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad menafikan dakwaan pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu tidak berbincang dengan Majlis Tertinggi (MT) gabungan sebelum menolak cadangan penubuhan kerajaan perpaduan selepas PRU15.

Menurut Marzuki, tindakan Muhyiddin menolak cadangan itu dibuat selaras dengan dasar Bersatu yang tidak akan bekerjasama dengan DAP dan bukannya keputusan peribadi.

“Presiden bertindak mengikut dasar parti. Adakah Muhyiddin bertindak secara bersendirian? Tidak.

“Turut bersama Muhyiddin dalam sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu ialah Abdul Hadi Awang, presiden PAS. Dasar PAS juga ialah untuk tidak bekerjasama dengan DAP,” katanya di Facebook.

Menerusi The Zaid Ibrahim Podcast kelmarin, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa Muhyiddin tidak berbincang dengan MT PN sebelum menolak cadangan penubuhan kerajaan perpaduan dititahkan Agong terdahulu Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah susulan keputusan PRU15.

Sultan Abdullah bertitah demikian berikutan tiada mana-mana parti politik yang memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan.

Wan Fayhsal berkata, keputusan itu dibuat segera oleh Muhyiddin di hadapan Agong ke-16 itu selepas beberapa ketua parti, termasuk Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim dipanggil menghadap Baginda di Istana Negara pada 22 Nov 2022.

Dalam pada itu, Marzuki berkata keputusan menolak kerajaan perpaduan itu terbukti tepat apabila PN mencatat kemenangan besar dalam PRN 2023, dengan menguasai empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, selain hampir menawan Selangor.

Marzuki turut membandingkan tindakan Bersatu dan Umno, dengan menyatakan bahawa Umno yang berbincang dalam Majlis Tertinggi untuk bekerjasama dengan DAP akhirnya ditolak oleh penyokongnya sendiri.

“(Manakala) Bersatu tidak bincang dalam MPT keputusan menolak kerjasama dengan DAP. Kesannya, penyokong Bersatu kekal menyokong Bersatu. Malah, penyokong Umno beralih arah menyokong Bersatu,” katanya.

Marzuki menyifatkan keputusan Muhyiddin dan Hadi sebagai satu ‘ijtihad politik yang betul’, sambil menyindir segelintir ahli parti yang menurutnya terlalu ghairah mahu kembali menjadi kerajaan.

“Yang mempersoalkan keputusan ini mungkin orang-orang yang tidak sabar hendak jadi kerajaan,” katanya.

Beliau turut mengkritik mentaliti ‘politik Machiavellian’ dalam kalangan ahli politik yang menurutnya sanggup melakukan apa sahaja demi kuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.