Mansuh Akta Perhimpunan Aman, kata kumpulan hak asasi susulan siasatan ‘Women’s March’

Mansuh Akta Perhimpunan Aman, kata kumpulan hak asasi susulan siasatan ‘Women’s March’

Kumpulan Madpet berkata, akta itu menghalang hak ‘sebenar’ untuk berhimpun secara aman.

Madpet menggesa polis berhenti ‘mengganggu’ peserta perhimpunan ‘Women’s March Malaysia’, yang berlangsung pada Ahad lepas.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan hak asasi manusia menggesa agar Akta Perhimpunan Aman 2012 dimansuhkan selepas polis memanggil beberapa individu yang menghadiri perhimpunan “Women’s March Malaysia” untuk disoal siasat pada Isnin.

Rakyat Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan (Madpet) menyifatkan akta itu sebagai “kejam” dan berkata, ia menghalang hak “sebenar” untuk berhimpun secara aman.

Jurucakap Madpet Charles Hector berkata, tidak masuk akal untuk polis memainkan peranan sebagai “pemberi kebenaran” dalam melaksanakan hak asasi untuk berhimpun.

“Ia hanya memberi polis terlalu banyak kuasa, malah mengenakan syarat dan sekatan. Selepas memberikan kelulusan pun, polis boleh dengan tiba-tiba menukar fikiran dan mengenakan sekatan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata, keperluan notis lima hari kepada polis sebelum perhimpunan boleh diadakan adalah membebankan dan menghalang hak serta-merta untuk berhimpun secara aman.

“Protes lebih lima hari kemudian terlalu lewat, dan mungkin tidak mendapat banyak sokongan orang ramai atau perhatian media,” katanya.

Katanya, akta itu menghalang mereka berusia bawah 21 tahun untuk berhimpun secara aman walaupun individu berusia 18 tahun ke atas sudah dibenarkan mengundi.

Sebelum akta itu dikuatkuasakan, katanya, “keadaan secara umumnya lebih baik” kerana orang ramai jarang disiasat atau didakwa kerana berhimpun secara aman walaupun perhimpunan membabitkan lebih tiga atau lima orang dianggap jenayah.

Kecuali Protes Reformasi 1998, katanya, apabila ratusan ditangkap dan didakwa.

Kumpulan itu turut menggesa agar Seksyen 141 Kanun Keseksaan dimansuhkan. Seksyen itu mentakrifkan perhimpunan lima orang atau lebih sebagai “menyalahi undang-undang” jika ia, antara lainnya, menyebabkan perbuatan khianat, pencerobohan atau kesalahan lain.

Kumpulan itu menggesa polis berhenti “mengganggu” peserta perhimpunan “Women’s March Malaysia”, yang berlangsung pada Ahad lepas.

Pada Ahad, polis membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan itu, dengan berkata ia tidak mematuhi peruntukan undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.