AICHR mahu Asean terap hak asasi manusia dalam semua perjanjian masa depan

AICHR mahu Asean terap hak asasi manusia dalam semua perjanjian masa depan

Negara anggota mesti bertindak melindungi hak ekonomi dan sosial pekebun kecil dan kumpulan rentan, kata pengerusinya Edmund Bon.

asean summit
Pengerusi AICHR Edmund Bon, berkata dasar Asean perlu memastikan rakyat tidak membayar lebih melibatkan barang keperluan asas seperti makanan dan ubat-ubatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) menyeru negara anggota menerapkan perlindungan hak asasi manusia yang kukuh dalam semua rangka kerja kerjasama dan perdagangan masa hadapan.

Pengerusinya, Edmund Bon, berkata semua bentuk pembangunan mesti mengambil kira dan mempertimbangkan keperluan pekebun kecil, komuniti peribumi, serta golongan orang kurang upaya (OKU).

Pembangunan tulen tidak dapat dipisahkan daripada hak asasi manusia, katanya.

“Kita perlu memastikan perjanjian masa depan — sama ada mengenai perdagangan, data atau alam sekitar — tidak akan mewujudkan semula corak bersifat eksploitasi menguntungkan pihak yang berkuasa, namun merugikan golongan rentan.”

Edmund Bon
Pengerusi Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia Asean, Edmund Bon. (Gambar Facebook)

Kata Bon kepada FMT selepas menyampaikan ucap tama pada Dialog Dasar Hak Asasi Manusia Asean-Kesatuan Eropah (EU) Ke-6 di Kuala Lumpur, pada 15 Okt.

Beliau berkata, Asean perlu memastikan dasarnya tidak ditentukan kuasa luar sehingga menjejaskan kemampuan dan akses keperluan asas.

“Perjanjian perdagangan tidak boleh menyebabkan rakyat kita membayar lebih untuk keperluan atau barangan import seperti ubat-ubatan.”

Beliau berkata, hak untuk pembangunan, seperti termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Asean, mesti dilihat sebagai hak individu dan juga hak kebersamaan.

Beliau berkata, kerajaan terikat mengikut undang-undang hak asasi manusia antarabangsa untuk merealisasikan hak ekonomi, sosial dan budaya ‘sehingga ke tahap maksimum sumber yang ada’, dan untuk memenuhinya secara progresif.

Bon menjelaskan, hak satu-satu komuniti terhadap makanan, kesihatan, dan pendidikan dinilai melalui kerangka ketersediaan, kebolehcapaian, kecukupan, kemampuan, dan kualiti.

“Air tidak dikira ‘tersedia’ jika orang ramai terpaksa berjalan sejauh 10 batu untuk mendapatkannya,” katanya sambil menekankan akses mesti bersifat praktikal dan saksama.

Katanya, perjanjian perdagangan bebas dan pelaburan sering kali tidak memihak kepada populasi lebih miskin.

Beliau berkata, ia menyebabkan ambang bagi keselamatan makanan, perlindungan buruh, dan kesihatan diturunkan, manakala monopoli ke atas barangan keperluan seperti ubat-ubatan menjadi semakin melebar.

Bon berkata, pelaksanaan syarat-syarat tertentu oleh Kesatuan Eropah (EU) boleh memberi kesan ketara terhadap perniagaan kecil, dengan merujuk pelarasan sempadan karbon membebankan perniagaan kecil

Bon juga menegaskan, walaupun Asean dan EU berkongsi komitmen terhadap hak asasi manusia, namun sistem kedua-dua blok berbeza.

Beliau menjelaskan, EU bergantung kepada ‘undang-undang keras’ yang mengikat secara sah dan bersifat melangkaui sempadan. Sebaliknya, Asean menggunakan ‘perlindungan adaptif’, iaitu proses lebih anjal melibatkan konsensus dan dialog.

“Asean tidak sama seperti EU. Kita tidak mempunyai mahkamah hak asasi manusia, tetapi kita membina perlindungan melalui ketelusan, pemantauan, rundingan kukuh, dan kerjasama dalam kalangan negara anggota.”

Bon menggesa pendekatan Asean kekal ‘dipimpin oleh Asean dan dimiliki oleh Asean’, tetapi terbuka kepada norma yang berkembang dan penyertaan masyarakat sivil.

“Norma-norma ini tidak semestinya kekal, dan sering menilainya akan memastikan ia kekal relevan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.