Polis tahan lelaki sebar gambar lucah bekas kekasih 17 tahun

Polis tahan lelaki sebar gambar lucah bekas kekasih 17 tahun

Lelaki berusia 40an ditahan di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, selepas polis terima laporan daripada kolej swasta.

Gambar lucah dan mengaibkan milik bekas pelajar wanita sebuah kolej swasta didakwa disebarkan menerusi WhatsApp oleh bekas teman lelakinya. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki berusia 40an ditahan pada Ahad kerana disyaki mengedar gambar lucah milik bekas teman wanitanya berusia 17 tahun melalui WhatsApp.

Ketua Polis Kajang Naazron Abdul Yusof berkata, polis menahan suspek pada 9.35 malam di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, selepas menerima laporan daripada pihak pengurusan sebuah kolej swasta.

“Pada 8.26 malam Khamis lepas, satu laporan polis telah dibuat oleh kakitangan kolej berkenaan berhubung pengedaran gambar lucah dan mengaibkan, dipercayai milik bekas pelajar wanita kolej itu, yang disebarkan dalam kumpulan WhatsApp pelajar kolej berkenaan.

“Bertindak atas maklumat, polis menahan bekas teman lelaki mangsa yang juga seorang penganggur serta merampas sebuah telefon bimbit bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Naazron berkata, suspek direman tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Penolong Pegawai Penyiasat Siti Aidah Yem di talian 010-217 6278 bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.