
Pakar Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Dr Zahari Noor berkata, hasil bedah siasat mendapati kedua-dua mangsa cedera serius pada bahagian belakang leher yang dipercayai menjadi punca utama kematian mereka.
“Luka yang dialami sangat teruk dan berpunca daripada senjata tajam seperti pisau pemotong daging,” katanya kepada pemberita di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya hari ini, lapor Sinar Harian.
Kesan kecederaan lain turut dijumpai pada badan mangsa, menunjukkan kemungkinan berlaku pergelutan sebelum kejadian, dipercayai apabila mangsa cuba menangkis serangan, tambahnya.
Dr Zahari Noor berkata, kedua-dua mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh hampir sama.
Berdasarkan pemerhatian, katanya, mangsa pertama diserang terlebih dahulu sebelum suspek naik ke tingkat atas dan menyerang anaknya.
Sariya Che Hin, 51, dan Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, ditemukan meninggal dunia di rumah mereka di Kampung Sekolah malam tadi.
Difahamkan, mayat wanita itu ditemukan di bahagian dapur tingkat bawah rumah manakala anaknya dalam keadaan meniarap berlumuran darah di tingkat atas.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.
Susulan itu, suami mangsa berusia 57 tahun ditahan reman selama seminggu bermula hari ini hingga 25 Okt bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail berkata, polis masih meneruskan siasatan lanjut bagi mengenalpasti motif pembunuhan.