
Katanya, inisiatif itu hanya dapat diberikan selepas permohonan bantuan diterima kerana bantuan akan diberi mengikut keperluan pemohon.
“Bantuan bencana persekolahan kita (KPM) ada pelbagai…kita nak tengok nanti buka sekolah, kita nak lihat permohonan dikemukakan kepada sekolah, iaitu JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) dan PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) akan ambil kira.
“Contohnya, keadaan yang berlaku di Johor…kita ada 18 inisiatif kewangan yang boleh kita dahulukan untuk bantu mereka (pelajar). Yang paling penting mereka dapat teruskan pembelajaran,” katanya selepas menghadiri program “Back to School” anjuran Persatuan Sahabat Kanak-kanak Kanser di sini.
Beliau berkata, kawasan terjejas banjir selalunya berdepan isu berkaitan buku sekolah, pakaian seragam dan kebajikan lain yang diperlukan pelajar terkesan.
Justeru, katanya, KPM mengeluarkan surat pekeliling ikhtisas (SPI) baharu berhubung persiapan sekolah pada minggu awal, dengan penumpuan guru kepada program atau aktiviti suai kenal untuk pelajar selesa di sekolah.
Beliau berkata, pelajar terkesan banjir juga tidak perlu memakai seragam sekolah.
“Minggu awal persekolahan tidak perlu ada apa-apa pelajaran lagi, tumpu kepada aktiviti suai kenal dan untuk pelajar selesa di sekolah melibatkan guru-guru kelas dan ibu bapa,” katanya.
Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, KPM tidak bercadang menangguhkan sesi persekolahan 2023/2024 di kawasan terjejas banjir, sebaliknya pelajar akan diberi pilihan belajar menerusi kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).