Sabah cadang beri pendidikan percuma di IPT milik kerajaan negeri

Sabah cadang beri pendidikan percuma di IPT milik kerajaan negeri

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata kerajaan negeri juga berhasrat memperkenalkan subsidi pinjaman pendidikan PTPTN dan Yayasan Sabah.

hajiji noor
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor bersama sebahagian pelajar yang menyertai Konvensyen Mahasiswa Sabah di Penampang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata kerajaan negeri bercadang memberi pendidikan percuma kepada pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi milik negeri iaitu Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS).

Katanya, kerajaan negeri juga berhasrat memperkenalkan dasar subsidi pinjaman pendidikan khususnya pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Sabah agar beban hutang pelajar dapat diringankan.

Hajiji berkata, inisiatif itu akan beri manfaat kepada lebih 100,000 peminjam dan beliau juga optimis dasar itu praktikal untuk dilaksanakan sesuai dengan kedudukan kewangan kerajaan negeri pada masa akan datang.

“Inilah bukti kesungguhan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memastikan lebih banyak anak Sabah dibantu di samping memastikan akses pendidikan sampai kepada para pelajar.

“Sebab itu kerajaan negeri memberi penekanan serius kepada soal pendidikan dan pembangunan modal insan kerana kita yakin golongan muda merupakan cerminan kepada masa hadapan negeri Sabah yang tercinta,” katanya di Konvensyen Mahasiswa Sabah di Penampang.

Kata Hajiji, sejak 2021, kerajaan negeri membelanjakan lebih RM1.3 bilion dalam bidang pendidikan.

“Jumlah ini merupakan peruntukan terbesar dalam sejarah Sabah, menandakan komitmen tinggi kerajaan terhadap anak-anak muda.

“Lebih 14 inisiatif pendidikan diperkenalkan, antaranya Bantuan one-off sebanyak RM600 kepada pelajar Sabah yang melanjutkan pelajaran ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan melalui program GRS-SubFly, selain bantuan sebanyak RM300 melalui inisiatif SENTOSA untuk pelajar yang belajar dalam negeri,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga menyediakan dana biasiswa tertinggi sejak merdeka iaitu RM136 juta pada 2025 yang memanfaatkan ribuan pelajar di pelbagai peringkat pengajian, termasuk menubuhkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bagi membantu pelajar yang menghadapi cabaran kewangan.

“Semua ini dapat dilaksanakan kerana kerajaan negeri berjaya meningkatkan hasil negeri ke tahap tertinggi dalam sejarah. Pendapatan negeri Sabah meningkat kepada hampir RM7 bilion,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.