Peguam 4 pelajar kecam Shafie eksploitasi kes Zara demi kepentingan politik

Peguam 4 pelajar kecam Shafie eksploitasi kes Zara demi kepentingan politik

Peguam empat pelajar berkata kenyataan presiden Warisan berhubung inkues itu prejudis terhadap anak guamnya.

zara qairina
Peguam mewakili empat pelajar berkata, kenyataan Presiden Warisan Shafie Apdal menunjukkan kurang rasa hormat terhadap keluarga Zara Qairina Mahathir yang sedang berduka. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Peguam mewakili empat pelajar dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir mengecam Presiden Warisan, Shafie Apdal yang didakwa cuba mengekspoiltasi kes itu demi kepentingan politik menjelang PRN Sabah akan datang.

Mereka menyifatkan kenyataan Shafie sebagai tuduhan melulu, berbahaya, menjijikkan dan penghinaan terhadap pentadbiran keadilan.

“Menggambarkan kes ini sebagai pembunuhan tanpa melalui proses undang-undang amat tidak bertanggungjawab dan sangat prejudis kepada anak guam kami. Ini adalah cubaan jelas untuk membakar sentimen awam demi kepentingan politik menjelang PRN akan datang.

“Keadilan seharusnya ditegakkan di mahkamah, bukannya di pentas politik. Ahli politik mempunyai kewajipan untuk menjunjung maruah jawatan awam, bukannya mengapi-apikan sentimen demi kelebihan pilihan raya,” kata mereka dalam kenyataan malam tadi.

Peguam Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Mohammed Fareez Mohammed Salleh dan Sylyester Kuan mewakili pelajar B, C, D serta E dalam prosiding inkues kematian Zara dan kes berasingan, iaitu pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara.

Shafie dilapor mempersoalkan tempoh panjang inkues dalam klip video sebuah majlis makan malam yang tersebar di media sosial.

Barisan peguam itu berkata, tindakan Shafie tidak wajar dan jelas merendahkan martabat serta kewibawaan seorang pemimpin.

“Kenyataan pramatang dan tidak bertanggungjawab bukan sahaja melemahkan prinsip bahawa setiap orang yang dituduh hendaklah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya di mahkamah, tetapi juga menunjukkan kurangnya rasa hormat terhadap keluarga Allahyarhamah Zara Qairina yang sedang berduka.

“Keadilan mesti ditentukan di mahkamah berdasarkan bukti serta keterangan, bukannya diputar belit dalam ucapan politik atau di media sosial.”

Zara, 13, meninggal dunia di hospital pada 17 Julai lalu, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri pada 4 pagi berdekatan longkang di sekolahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.