
Perdana menteri berkata, selepas rasionalisasi diesel pada Jun tahun lalu, BUDI95 yang bermula 30 Sept dijangka menambah dana Putrajaya untuk membantu rakyat terjejas, termasuk mangsa banjir seperti di Sabah ketika ini.
“(Selepas pelaksanaan BUDI95) harga RON95 akan naik sedikit tetapi turun untuk rakyat, dah tentu hasil pulangan akan kembali kepada rakyat terutama prasarana.
“Umpamanya kita lihat banjir di Sabah, kerosakan infrastruktur itu besar termasuk seluruh institut pendidikan guru (IPG) Gaya,” katanya ketika perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Memang kena dibangunkan semula, cerun, jalan, klinik, sekolah…semua harus diperbaiki. Jadi, ada beban baru yang harus kita manfaatkan dari dana ini untuk bantu rakyat terjejas dan tumpuan kita masih dalam bidang pendidikan, kesihatan, dan prasarana asas.”
Beliau berkata, penjimatan daripada peralihan kepada BUDI95 itu juga akan disalurkan semula kepada rakyat melalui bantuan sosial, seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta Penghargaan SARA.
Terdahulu, Anwar yang juga menteri kewangan mengumumkan harga petrol RON95 akan dikurangkan kepada RM1.99 seliter mulai 30 Sept di bawah program BUDI95.
Beliau berkata, semua warganegara berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah layak menikmati harga subsidi itu dengan pengesahan dibuat menggunakan MyKad, mekanisme sama penyaluran bantuan seperti SARA.
Menurutnya, di bawah sistem baharu ini, bukan warganegara dan individu tanpa kelayakan termasuk syarikat besar akan dikenakan harga pasaran tanpa subsidi sekitar RM2.60, lebih tinggi berbanding harga semasa, RM2.05.