
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan 90 orang daripada 22 keluarga masih berlindung di dua PPS.
“Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Papar melibatkan lapan orang saja, manakala jumlah mangsa kejadian tanah runtuh di Penampang 82 orang. Hanya dua kampung masih terjejas, masing-masing sebuah di Papar dan Penampang,” katanya dalam kenyataan.
JPBN Sabah turut memaklumkan 13 maut dalam kejadian tanah runtuh, manakala seorang lemas kerana banjir di negeri itu setakat ini.
Di Sarawak, JPBN memaklumkan jumlah mangsa berlindung di PPS Dewan Suarah Marudi, Miri kekal 16 orang daripada lima keluarga pagi ini.
Data daripada laman Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan sungai di stesen Long Teru masih berada pada paras 8.47m pagi ini berbanding 8.69m petang semalam, masih melebihi paras bahaya 8m, namun menunjukkan trend menurun.
Turut menunjukkan trend menurun ialah paras air di stesen Marudi, iaitu 3.92m berbanding 4.12m semalam, melepasi paras bahaya 3.25m.