Sedia bertindak, AGC teliti kenyataan Shafie

Sedia bertindak, AGC teliti kenyataan Shafie

Jabatan Peguam Negara berkata kenyataan presiden Warisan berpotensi timbul persepsi tidak tepat dan boleh jejas kelancaran proses mahkamah.

Jabatan Peguam Negara
Jabatan Peguam Negara berkata pihaknya sedang meneliti setiap kandungan kenyataan Shafie Apdal dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas menurut peruntukan undang-undang.
PETALING JAYA:
Jabatan Peguam Negara tidak akan teragak-agak memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap Presiden Warisan Shafie Apdal, jika terbukti kenyataannya mengganggu prosiding kes Zara Qairina Mahathir.

Jabatan itu memaklumkan kenyataan bekas ketua menteri Sabah itu sedang diteliti secara terperinci, susulan ucapannya pada majlis ‘Jelajah Inspirasi DSSA P187 Kinabatangan’ pada 20 Sept.

“Kenyataan sedemikian berpotensi menimbulkan persepsi tidak tepat dalam kalangan masyarakat serta menjejaskan kelancaran prosiding mahkamah yang sedang berlangsung.

“Sehubungan itu, jabatan ini sedang meneliti setiap kandungan kenyataan tersebut dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas menurut peruntukan undang-undang, termasuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah setelah penelitian tersebut selesai,” katanya dalam kenyataan.

Jabatan Peguam Negara turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh mengelirukan masyarakat atau mengganggu perjalanan prosiding mahkamah yang masih berlangsung.

Shafie dilapor mempersoalkan tempoh panjang inkues, dalam klip video sebuah majlis makan malam yang tersebar di media sosial.

Dalam video itu, Shafie kedengaran berkata: “Gadis itu telah meninggal dunia. Dia tidak dibuli, ia adalah pembunuhan. Berapa kali Bukit Aman menyoal saksi? Mereka telah menyoal orang yang sama.”

Zara, 13, meninggal dunia di hospital pada 17 Julai lalu, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri pada 4 pagi berdekatan longkang di sekolahnya.

Pada 13 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara mengarahkan inkues diadakan selepas meneliti laporan siasatan polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.