Siasatan Jana Wibawa bebas campur tangan, tak bermotif politik, kata SPRM

Siasatan Jana Wibawa bebas campur tangan, tak bermotif politik, kata SPRM

SPRM berkata siasatan dijalankan adalah inisiatif berasaskan maklumat dan bukti diperoleh pihaknya.

SPRM berkata tohmahan mengatakan siasatan dijalankan atas arahan pihak tertentu dan bermotifkan politik tidak benar sama sekali serta menjejaskan imejnya.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan siasatan terhadap beberapa individu berhubung program Jana Wibawa bebas campur tangan mana-mana pihak dan tidak bermotifkan politik.

Dalam kenyataan, SPRM berkata siasatan dijalankan adalah inisiatif berasaskan maklumat dan bukti diperoleh sendiri suruhanjaya itu.

Katanya, kertas siasatan yang dilengkapkan kemudian dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk kajian dan pertimbangan sewajarnya.

“Proses siasatan adalah bebas daripada sebarang campur tangan mana-mana pihak.

“Justeru, tohmahan mengatakan siasatan SPRM atas arahan pihak tertentu dan bermotifkan politik adalah tidak benar sama sekali serta menjejaskan imej suruhanjaya ini,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu pengkritik kerajaan supaya “menyemak fakta” sebelum menuduh berlaku sebarang pendakwaan bermotifkan politik.

Sebelum itu, beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) menyifatkan dakwaan penahanan dan pertuduhan terhadap pemimpin Bersatu adalah bukti pendakwaan bermotifkan politik oleh kerajaan.

Manakala, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin hari ini sekali lagi mengecam pertuduhan terpilih yang dikenakan terhadapnya menyifatkan ia sebagai satu penganiayaan oleh musuh politik yang rakus, dengan berkata akan melawan dengan tenang di mahkamah kerana yakin tidak bersalah.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan, membabitkan empat dakwaan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.

Muhyiddin bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.