
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata hak eksklusif untuk menentukan rawatan pesakit hanya terletak pada doktor.
“Jika polisi insurans tidak meliputi rawatan itu, pesakit boleh membayarnya sendiri,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan oleh Sim Tze Tzin (PH–Bayan Baru) yang meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan menangani isu yang timbul selepas pelaksanaan langkah sementara oleh Bank Negara (BNM) bagi mengekang kenaikan premium insurans perubatan menggunakan undang-undang sedia ada.
Antara isu yang dibangkitkan oleh ahli Parlimen PKR itu ialah campur tangan ITO dalam keputusan klinikal, penarikan surat jaminan, penolakan tuntutan atas alasan rawatan tidak mengikut protokol, kenaikan mendadak premium mengikut umur, serta pengurangan tempoh perlindungan.
Menjawab perkara itu, Lim berkata data daripada industri ITO menunjukkan kadar kelulusan tuntutan kekal sekitar 90% secara purata.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan bersama BNM, industri perubatan, hospital dan ITO akan mengaktifkan semula Jawatankuasa Mekanisme Aduan (GMC).
GMC berperanan menangani isu berkaitan amalan operasi perniagaan, termasuk mengurangkan kelewatan dalam pengeluaran surat jaminan dan menyelesaikan pertikaian berkaitan liputan perlindungan.
Bulan lalu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyuarakan kebimbangan terhadap satu pekeliling dikeluarkan oleh TPA yang mengarahkan penyedia perkhidmatan kesihatan mengenai pilihan jenis bius yang digunakan serta pengelasan sesetengah prosedur sama ada sebagai rawatan harian atau kemasukan ke wad.
Presiden MMA, Dr R Thirunavukarasu, berkata arahan sedemikian merupakan campur tangan terhadap autonomi klinikal dan melanggar etika perubatan.