Kuasai bahasa Inggeris, Mandarin, Abang Jo beritahu rakyat Sarawak

Kuasai bahasa Inggeris, Mandarin, Abang Jo beritahu rakyat Sarawak

Premier Sarawak berkata kebolehan menguasai dua bahasa itu akan membantu negeri menjadi pemain global dalam pelbagai bidang.

Abang Johari Openg berkata, sebagai galakan menguasai bahasa Mandarin, kerajaan Sarawak mengambil langkah mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Rakyat Sarawak perlu menguasai bahasa Inggeris dan Mandarin bagi membantu negeri itu menjadi pemain global dalam pelbagai bidang, kata Abang Johari Openg.

Premier Sarawak berkata, bahasa Inggeris penting dalam usaha mendalami ilmu pengetahuan dan pembangunan, katanya menurut Borneo Post.

“Itulah sebabnya kita guna bahasa Inggeris selain Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi di Sarawak. Kita faham kepentingan bahasa Inggeris,” katanya dipetik sebagai berkata ketika menghadiri majlis di Kuching, malam tadi.

Beliau menambah, Mandarin juga tidak kurang pentingnya sebagai satu daripada bahasa utama dunia.

“Kita perlu lebih ramai rakyat Sarawak yang pandai bercakap dalam Mandarin. Rugi bagi Sarawak kalau kita tidak menyedari kepentingan bahasa itu,” katanya.

Abang Johari berkata, bagi menggalakkan penguasaan Mandarin, kerajaan Sarawak mengambil langkah mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Bagaimanapun, pengiktirafan UEC bersyarat dengan pemegang UEC mesti juga mendapat kredit dalam Bahasa Malaysia.

Pengiktirafan Sarawak terhadap UEC membolehkan pemegangnya memohon jawatan untuk berkhidmat dalam perkhidmatan awam dan layak menerima pinjaman pendidikan daripada Yayasan Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.