I-CATS komponen utama modal insan Sarawak, kata Abang Jo

I-CATS komponen utama modal insan Sarawak, kata Abang Jo

Abang Johari Openg berkata di institusi itu bakat anak muda Sarawak dipupuk untuk jadi tenaga profesional mampu isi sektor strategik negeri.

Premier Sarawak Abang Johari Openg pada Istiadat Konvokesyen Kolej Universiti i-CATS ke 27. (Gambar Facebook ICATS University College)
KUCHING:
Kolej Universiti i-CATS kini bukan lagi sebuah institusi kecil untuk menjana ilmu semata-mata, tetapi telah berkembang menjadi komponen utama dalam ekosistem pembangunan modal insan Sarawak.

Premier Abang Johari Openg berkata, di institusi itu bakat anak muda Sarawak dipupuk untuk menjadi tenaga profesional yang mampu mengisi sektor strategik negeri.

“Hari ini, i-CATS tidak berfungsi hanya sebagai pusat pengajian, tetapi sebagai pemangkin pembangunan negeri yang membina kecekapan, melahirkan tenaga kerja masa depan dan menjadi jambatan antara kebolehan pelajar dengan keperluan dunia sebenar.

“Bidang-bidang tumpuan seperti aeroangkasa, tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, automasi, hospitaliti, teknologi pertanian dan perkhidmatan profesional bukan lagi pilihan pinggiran. Inilah sektor masa depan negeri dan graduan i-CATS sedang dipersiapkan untuk menjadi perintis sektor berkenaan,” katanya semasa berucap pada Istiadat Konvokesyen Kolej Universiti i-CATS ke 27.

Abang Johari berkata, kekuatan Sarawak bukan semata-mata terletak pada kekayaan sumbernya, tetapi pada kemampuan melahirkan rakyat yang mampu berdikari dalam ilmunya sendiri dan i-CATS kini sedang bergerak ke arah mencapai matlamat itu.

“Dengan jaringan antarabangsa semakin meluas termasuk kerjasama ilmiah dengan institusi di Turki, China, Australia dan Indonesia, i-CATS sedang membina kehadiran global. Ini bukan kejayaan institusi semata-mata, ini penegasan bahawa Sarawak mampu mendidik anak bangsanya sendiri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.