Fokus pulih semangat guru sebelum laksana AI di sekolah, kata Akmal

Fokus pulih semangat guru sebelum laksana AI di sekolah, kata Akmal

Ketua Pemuda Umno berkata guru perlu kembali bersemangat dan jelas dengan peranan mereka sebagai pendidik sebelum teknologi baharu seperti AI diperkenalkan di bilik darjah.

Akmal salleh
Dr Akmal Saleh berkata ramai guru telah hilang minat untuk mengajar kerana rasa tertekan dengan urusan birokrasi yang berlebihan dan sasaran prestasi yang tidak realistik.
KUALA LUMPUR:
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menggesa kerajaan menumpukan usaha memulihkan semangat dan motivasi guru sebelum memperkenalkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) di sekolah.

Beliau berkata masalah utama dalam sistem pendidikan Malaysia bukanlah kekurangan teknologi atau kemudahan, tetapi semakin hilangnya minat dalam kalangan guru yang berasa terbeban dengan tugas pentadbiran berlebihan dan sasaran prestasi (KPI) yang tidak realistik.

Pada Ogos lalu, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa 67.44% daripada 19,179 guru sekolah rendah dan menengah yang memilih untuk bersara awal antara 2022 hingga Mei tahun ini menyatakan mereka hilang minat untuk mengajar.

“Guru dibebankan dengan terlalu banyak tugas dan KPI. Tugas mereka adalah untuk mengajar, bukan mengurus. Itu sebab ramai yang hilang minat,” kata Akmal dalam satu sesi meja bulat anjuran Pemuda Umno di sini.

“Apabila guru tidak lagi mempunyai semangat mengajar, murid juga tidak dapat merasakannya daripada guru. Sebelum kita bercakap tentang AI, kita perlu selesaikan masalah ini dahulu,” katanya.

Akmal yang juga Exco Melaka turut meminta Kementerian Pendidikan (KPM) berjumpa secara langsung dengan guru dan pelajar, bukan hanya bergantung pada laporan pegawai atasan.

Turut hadir dalam perbincangan itu ialah bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin, yang berkata AI seharusnya membantu dan menyokong guru, bukan menggantikan mereka.

“AI boleh membantu guru menanda kertas, menyesuaikan pengajaran mengikut tahap pelajar, dan mengurangkan tugas pentadbiran… tetapi dalam kelas tetap perlu ada guru,” katanya.

Khairy turut berkata kerajaan tidak perlu membuat perubahan besar untuk mengguna pakai AI kerana banyak alat sumber terbuka yang sudah tersedia untuk membantu mengurangkan beban kerja guru.

“Tiada alasan untuk tidak menggunakannya,” katanya.

Bulan lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memaklumkan bahawa kementeriannya sedang memuktamadkan garis panduan literasi AI di sekolah.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen, beliau berkata sebanyak 26 sekolah rendah dan menengah dikenal pasti untuk pelaksanaan projek rintis penggunaan AI dalam bilik darjah.

Katanya, hasil kajian daripada projek rintis itu akan membantu kementerian menentukan bentuk integrasi teknologi AI yang paling sesuai digunakan untuk pelajar di Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.