
Dalam satu kenyataan, presidennya Nazim Maduarin berkata saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, dengan pasukan guaman SLS diketuai oleh bekas presiden Roger Chin.
Nazim berkata tindakan itu perlu bagi memastikan perlindungan perlembagaan yang diperkenalkan untuk kepentingan Sabah dan Sarawak di bawah Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dipatuhi sepenuhnya.
“Kes ini dibawa atas kepentingan awam. Keputusannya akan memberi kesan jangka panjang terhadap tafsiran perlembagaan di seluruh Malaysia, pemeliharaan kedudukan khas Sabah dan Sarawak dalam persekutuan, serta perlindungan terhadap kedaulatan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata sebarang pengisytiharan untuk menjadikan versi bahasa Malaysia sebagai teks rasmi tidak boleh berkuat kuasa tanpa mengikuti prosedur pindaan seperti diperuntukkan di bawah Artikel 159, dan juga memerlukan persetujuan Sabah dan Sarawak di bawah Artikel 161E(2).
Klausa ketertinggian di bawah Artikel 4(1) juga mesti dipatuhi, katanya.
Nazim menjelaskan bahawa saman itu bukan bertujuan mencabar kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, dan tidak ditujukan kepada Yang di-Pertuan Agong atau berniat untuk mempersoalkan hak prerogatif diraja di bawah Artikel 160B.
Sebaliknya, katanya, tindakan itu berkaitan dengan proses perlembagaan dan keperluan untuk menyelaraskan perbezaan sedia ada antara teks bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris sebelum sebarang pengisytiharan rasmi dibuat.
Saman itu juga bertujuan untuk mengelak situasi di mana perisytiharan diraja di bawah Artikel 160B boleh dicabar kemudian sebagai tidak mengikut perlembagaan.
Nazim berkata tindakan itu diambil sebagai reaksi kepada satu lagi kes yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang memohon perisytiharan bahawa teks bahasa Malaysia sudah pun versi rasmi.
“SLS bimbang bahawa melangkau beberapa proses perlembagaan boleh mengubah maksud undang-undang bagi peruntukan berkaitan agama, bahasa dan hak pribumi di Sabah dan Sarawak, sekali gus menjejaskan perlindungan yang dijanjikan apabila kedua-dua negeri menyertai Malaysia pada 1963.
“Kebimbangan ini timbul kerana perbezaan material sudah pun wujud antara dua versi perlembagaan,” katanya.
Beliau berikan contoh Artikel 12(4) – versi bahasa Inggeris memerlukan persetujuan kedua-dua ibu bapa dalam hal berkaitan agama kanak-kanak, manakala versi bahasa Malaysia menggunakan ungkapan yang boleh ditafsirkan membolehkan hanya seorang ibu atau bapa membuat keputusan.
“Perbezaan sebegini boleh memberi kesan terhadap tafsiran undang-undang yang ditetapkan serta hak warganegara sekiranya teks bahasa Malaysia dijadikan versi rasmi tanpa penyelarasan yang betul,” katanya.
Nazim menegaskan bahawa SLS menyokong usaha penyelarasan kedua-dua versi bahasa Perlembagaan, namun menuntut agar ia dilakukan secara telus dan mengikut tatacara yang betul.