Jangan calar reputasi rektor UIAM, kata sarjana

Jangan calar reputasi rektor UIAM, kata sarjana

Sharifah Munirah Alatas berkata beliau tidak mahu profesor yang cemerkap mencemarkan nama universiti secara terbuka dan tanpa rasa menyesal.

SHARIFAH MUNIRAH ALATAS
Sarjana bebas Sharifah Munirah Alatas, berkata Rektor UIAM Osman Bakar merupakan seorang sarjana dihormati di peringkat global dan berharap reputasinya tidak dicemarkan dengan dakwaan tiada asas.
PETALING JAYA:
Seorang sarjana bebas mengkritik pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kerana tampak gagal mengambil tindakan terhadap pensyarah Solehah Yaacob, yang kenyataanya didakwa merosakkan reputasi universiti itu dan rektornya, Osman Bakar.

Sharifah Munirah Alatas berkata, Osman, rektor UIAM yang ketujuh merupakan sarjana dihormati di peringkat global.

“Ramai mengagumi Osman Bakar, sama ada di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa. Pelantikannya sebagai rektor tahun lalu merupakan langkah penting bagi pendidikan tinggi awam Malaysia di bawah kerajaan Madani,” kata Munirah dalam kenyataan.

“Namun, pengurusan tertinggi di UIAM masih belum mengambil tindakan serius menghentikan individu ini daripada menyebarkan kenyataan tidak masuk akal dan mencemarkan nama baik profesion itu. Tahun lalu beliau membangkitkan perkara memalukan, dan melakukannya sekali lagi tahun ini.”

“Saya tidak mahu ada profesor cemerkap mencemarkan nama universiti secara terbuka, bebas, dan tanpa rasa menyesal,” tambahnya.

Munirah mengalu-alukan kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir, dan Persatuan Staf Akademik (ASA) UIAM, yang kedua-duanya menuntut tindakan disiplin dikenakan terhadap pensyarah itu kerana melanggar standard akademik.

Beliau menyatakan ASA telah membuat gesaan sama pada September 2024 selepas pensyarah sama membuat kenyataan diragui mengenai satu lagi perkara berkait sejarah.

“Namun, meskipun terdapat kenyataan-kenyataan disebutkan, pensyarah yang menyimpang ini terus membuat dakwaan tidak berasas, sekali gus memalukan komuniti akademik. Kini, terpulang kepada UIAM untuk menggunakan autonominya dan membersihkan keserabutan ini,” katanya.

Solehah, pensyarah bahasa Arab dalam satu video tular mendakwa orang Rom mempelajari ilmu pembinaan kapal daripada orang Melayu. Beliau dipercayai membuat kenyataan itu sebagai maklum balas kepada penemuan bangkai kapal karam abad ke-13 berhampiran Pulau Melaka, Jumaat lalu.

Zambry berkata, pensyarah universiti harus kekal dalam bidang kepakaran masing-masing dan mengelak membuat dakwaan di luar bidang mereka.

Beliau berkata, profesor harus berfungsi sebagai sumber rujukan berwibawa kepada masyarakat, sama seperti doktor pakar yang hanya memberikan pendapat dalam bidang masing-masing.

ASA UIAM turut menyeru pengurusan universiti mengambil tindakan tegas terhadap ahli akademik yang tingkah laku atau kenyataan awamnya melanggar standard etika, profesional, atau akademik, lapor Malaysiakini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.