
Baginda turut menggesa pemegang tauliah mematuhi garis panduan ditetapkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Menurut Tuanku Syed Faizuddin, penyampaian ilmu adalah amanah besar dan tidak boleh dipandang ringan kerana menjadi asas dalam membentuk masyarakat berilmu, berakhlak dan berdaya maju.
“Perlis sentiasa menitikberatkan kepentingan ilmu dalam kalangan umatnya. Ilmu menjadi asas bagi melahirkan masyarakat yang bijak dan berdaya maju.
“Guru agama bertanggungjawab memperkukuh penguasaan ilmu seperti tafsir, hadis, fekah, usul fiqh dan sirah. Setiap pemegang tauliah juga wajib mematuhi garis panduan MAIPs supaya penyebaran ilmu berlaku secara teratur dan berasaskan manhaj Ahlus Sunnah Wal Jamaah,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Simposium Guru Agama dan Majlis Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis 2025 di Dewan Warisan, di Kangar.
Program itu dianjurkan Jabatan Mufti Perlis dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) sebagai usaha meningkatkan kualiti penyampaian agama.
Majlis turut menyaksikan pembentangan ilmiah oleh Ahli Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perlis, Mohd Rizal Azizan, bertajuk Kaedah Penyampaian Berkesan Dalam Pengajaran Agama Islam.
Tuanku Syed Faizuddin Putra juga berkenan melancarkan buku terbaharu terbitan Jabatan Mufti Perlis, selain mengumumkan penganjuran Perlis International Sunnah Convention 2026 yang bakal menjadi platform perkongsian ilmu pada peringkat antarabangsa.
Baginda turut menyampaikan tauliah rasmi mengajar agama kepada para asatizah yang berkelayakan dan berwibawa.
Simposium berkenaan menjadi platform menghargai peranan guru agama dalam membentuk masyarakat yang berpaksikan ajaran Islam berteraskan sunnah.