
Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, Seksyen 4 dan 20 Akta itu melanggar peruntukan kuasa kehakiman yang dinyatakan dalam Perkara 121(1) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam keputusan lisan disampaikan semasa prosiding dalam talian hari ini, Wan Ahmad berkata, peruntukan dalam akta itu memberikan kuasa kepada eksekutif, diwakili menteri dalam negeri, untuk mengarahkan badan kehakiman, iaitu mahkamah sesyen, dalam perkara yang berkaitan dengan pengeluaran perintah ekstradisi.
“Seksyen 4 dan 20 Akta Ekstradisi 1992 bercanggah dengan perlembagaan, batal, tidak sah dan tidak berkuat kuasa kerana ia melanggar Perkara 121(1),” katanya.
Keputusan itu mungkin menyebabkan Putrajaya berdepan kesukaran apabila cuba menyerahkan orang yang dikehendaki oleh negara asing yang mempunyai persetujuan bersama dengan Malaysia.
Hakim juga mengisytiharkan bahawa kedua-dua seksyen itu melanggar kebebasan peribadi individu yang terkesan.
Ini termasuk hak untuk proses undang-undang yang wajar seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 5, kesaksamaan dan perlindungan undang-undang yang sama bawah Perkara 8, serta larangan buang negeri bawah Perkara 9 Perlembagaan.
Tahun lalu, Ling Yang Ching dan Wong Ong Hua memfailkan saman pemula meminta Mahkamah Tinggi menentukan beberapa soalan perlembagaan mengenai kesahihan undang-undang ekstradisi.
Kedua-duanya ditahan Bukit Aman pada 14 Sept 2020, selepas kerajaan AS memohon ekstradisi mereka.
Mereka dibawa ke Mahkamah Sesyen untuk kerajaan mendapatkan perintah ekstradisi.
Dalam permohonan mereka kepada Mahkamah Tinggi, Ling dan Wong mendakwa kedua-dua peruntukan Akta Ekstradisi bercanggah dengan perkara dalam perlembagaan berhubung kebebasan asas dan kuasa kehakiman.
Kerajaan AS mahu mereka berdepan tuduhan di District of Columbia kerana didakwa menjalankan operasi penggodaman global untuk mencuri identiti, teknologi permainan video dan menanam perisian tebusan, serta mengintip aktivis Hong Kong.
Seksyen 4 memperkatakan kuasa menteri dalam negeri untuk mengeluarkan arahan mengekstradisi suspek ke negara yang memohonnya untuk menghadapi tuduhan, manakala Seksyen 20 mengatakan mahkamah mesti meletakkan suspek dalam tahanan sementara menunggu perintah menteri menyerahkannya.
Kedua-dua mereka diwakili oleh Malik Imtiaz Sarwar, Tey Jun Ren dan Khoo Suk Chyi, manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mengendalikan pendakwaan, mewakili menteri dalam negeri, serta kerajaan Malaysia dan AS.