Dr M dakwa perjanjian dagangan dengan AS bercanggah Perlembagaan

Dr M dakwa perjanjian dagangan dengan AS bercanggah Perlembagaan

Bekas perdana menteri dakwa perjanjian itu langgar peruntukan berhubung hak Bumiputera, selain tuduh kerajaan belakangi Parlimen.

onald Trump,Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden AS Donald Trump meterai perjanjian perdagangan dalam satu pertemuan di sela-sela Sidang Kemuncak Asean akhir bulan lepas. (Gambar AP)
PUTRAJAYA:
Dr Mahathir Mohamad mendakwa perjanjian perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang dimeterai akhir bulan lepas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bekas perdana menteri itu berkata, perjanjian itu bercanggah dengan beberapa peruntukan Perlembagaan berhubung hak Melayu dan Bumiputera, selain kedudukan Raja-Raja Melayu dan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, beliau hanya memetik Perkara 153 perlembagaan sebagai contoh, yang menjamin ‘bahagian’ jawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa, serta permit dan lesen perniagaan untuk kaum Bumiputera.

Pada sidang akhbar hari ini, Mahathir turut mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu mendapatkan kelulusan Dewan Rakyat sebelum menandatangani perjanjian dengan Presiden AS Donald Trump di sela-sela Sidang Kemuncak Asean, memandangkan ia bercanggah dengan perlembagaan.

“Anwar telah buat sesuatu langgar perlembagaan. Beliau tiada hak gadai negara kita,” katanya.

“Jika beliau mahu ambil tindakan sebegitu, patutnya bawa ke Dewan Rakyat (untuk diundi) dan peroleh majoriti dua pertiga (Ahli Parlimen menyokong).

“Perjanjian dengan AS ini sebenarnya menghapuskan kebebasan dan kemerdekaan negara kita. Ia amat berat sebelah.”

Beliau juga mendakwa perjanjian itu secara berkesan mengikat Malaysia kepada kepentingan AS, menyebabkan negara tidak dapat membuat keputusan secara bebas.

Minggu lepas, Anwar menyangkal dakwaan bahawa perjanjian itu menjejaskan kedaulatan Malaysia, menegaskan ia boleh ditamatkan pada bila-bila masa menerusi klausa keluar.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz pula menjelaskan, kerajaan tidak terikat untuk mengikut langkah AS mengenakan duti kastam, larangan atau sekatan import ke atas barangan serta perkhidmatan dari negara lain.

Katanya, Malaysia dijangka berdepan tarif lebih tinggi sekiranya tidak memeterai perjanjian itu, yang mana katanya akan menjejaskan daya saing negara, iklim pelaburan dan pasaran kerja.

Namun, Mahathir menyifatkan klausa keluar itu bercanggah dengan terma sebenar perjanjian berkenaan.

Dakwanya, Malaysia kini terikat dengan kepentingan AS dan tidak boleh memeterai sebarang perjanjian dengan negara lain tanpa merujuk Washington terlebih dahulu.

Asean memeterai perjanjian perdagangan yang dinaik taraf dengan China beberapa hari selepas perjanjian Malaysia-AS. Menurut Anwar, tindakan itu sudah cukup menyangkal dakwaan negara dan blok serantau itu tunduk kepada ugutan AS.

Mahathir bagaimanapun tetap bertegas perjanjian itu menyebabkan Malaysia kehilangan akses kepada pasaran lain selain membenarkan Washington campur tangan dalam sektor utama seperti makanan, perkilangan, pertanian, telekomunikasi, pertahanan dan perlombongan.

“Kita sudah hilang hak untuk tentukan apa yang menguntungkan negara,” katanya.

“Apa yang disebut perdana menteri sebagai ‘klausa keluar’ itu satu pembohongan. Satu-satunya klausa keluar sekarang ialah Anwar dan Jemaah Menterinya perlu ambil tanggungjawab dan letak jawatan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.