
Azalina berkata, Adam Radlan sebelum ini didakwa atas 12 tuduhan, merangkumi lima tuduhan rasuah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan tujuh tuduhan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001.
Jelasnya, ketika sebutan kes pada 20 Ogos lepas, timbalan pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa Adam Radlan ditawarkan kompaun mengikut Seksyen 92(1) Amla, dan beliau sudah pun menjelaskan bayaran berjumlah RM4.1 juta pada 18 Ogos.
“Selanjutnya, timbalan pendakwa raya SPRM memohon kepada mahkamah di bawah subseksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah untuk menarik balik semua tuduhan dan suatu perintah pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) diberikan kepada tertuduh,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen
Azalina berkata, keputusan menarik balik tuduhan itu dibuat selaras dengan kuasa budi bicara pendakwa raya yang termaktub di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara itu memberikan kuasa kepada pendakwa raya untuk memulakan, mengendalikan atau memberhentikan prosiding bagi sebarang kesalahan, kecuali kes di hadapan mahkamah syariah, anak negeri atau tentera.
Susulan itu, katanya, peguam Adam Radlan memohon pelepasan dan pembebasan penuh. Setelah meneliti hujahan kedua-dua pihak, hakim mahkamah sesyen memutuskan untuk melepas dan membebaskan anak guamnya itu mengikut Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah.
“Perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah adalah mengikut lunas undang-undang sepertimana yang telah ditetapkan,” kata Azalina.
Pada Februari 2023, Adam Radlan didakwa atas lima tuduhan meminta dan menerima rasuah bernilai sehingga RM9.9 juta.
Suapan itu didakwa bagi membantu dua syarikat mendapatkan projek di bawah program Jana Wibawa, iaitu inisiatif pemerkasaan kontraktor Bumiputera oleh kerajaan Perikatan Nasional ketika wabak Covid-19.
Beliau turut berdepan tujuh lagi tuduhan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM3 juta.
Pada Ogos, pembebasan Adam Radlan daripada lima tuduhan rasuah selepas membayar kompaun pengubahan wang haram dipersoalkan oleh sebuah kumpulan antirasuah yang menggesa Jabatan Peguam Negara memberi penjelasan.
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) menyifatkan keputusan itu mempunyai percanggahan memandangkan tidak semua kesalahan di bawah Amla boleh dikompaun.
Turut menyuarakan persoalan sama ialah ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi, yang meminta SPRM memperjelas sama ada tuduhan rasuah boleh diselesaikan melalui kompaun.