
Semalam, Hakim Su Tiang Joo mengarahkan kerajaan dan polis membayar membayar pampasan lebih RM37 juta kepada keluarga Koh atas penglibatan kerajaan dalam penculikannya.
Su turut mengarahkan dua pihak itu membayar lebih RM3 juta kepada keluarga Amri kerana gagal menjalankan siasatan sewajarnya terhadap kehilangan aktivis itu.
“Setelah meneliti dan mempertimbangkan keputusan hakim, jabatan ini akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan itu,” kata AGC dalam kenyataan.
Su dalam penghakimannya, berkata satu atau lebih defendan, terdiri daripada pegawai polis berkhidmat dan bekas pegawai terlibat dalam penculikan Koh dan bertindak mengikut ‘satu arahan’, lapan tahun lalu.
Koh diculik pada 13 Feb 2017 ketika sedang memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya.
Bagi penghakiman kes membabitkan Amri, Su memutuskan kerajaan dan polis melanggar kewajipan statutori mereka, dan bahawa pegawai mereka bertindak bertentangan Perlembagaan.
Amri, pengasas NGO Perlis Hope, meninggalkan rumahnya kira-kira 11.30 malam pada 24 Nov 2016.
Keretanya ditemui di tapak pembinaan berhampiran Sekolah Sukan Bukit Cabang, Perlis, awal pagi keesokannya.
Isteri aktivis itu, Norhayati Ariffin, memfailkan saman terhadap polis dan kerajaan berhubung cara pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap kehilangan suaminya.