Sabah penerima terbesar skim biaya tanam semula sawit

Sabah penerima terbesar skim biaya tanam semula sawit

Permohonan diluluskan dengan keluasan 3,420.04 hektar, babit peruntukan RM61.56 juta, kata timbalan menteri perladangan dan komoditi.

kelapa sawit
Setakat 15 Okt lepas, 30,768 pekebun kecil di Sabah peroleh Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MPSO), libat keluasan 191,517.96 hektar sawit.
SANDAKAN:
Sabah menjadi penerima terbesar peruntukan bagi Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0 dengan RM61 juta disalurkan dalam bentuk geran padanan daripada RM100 juta dana disediakan kerajaan tahun ini.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Chan Foong Hin berkata, skim bagi kerja-kerja penanaman semula sawit yang diuruskan Agrobank itu mencatatkan 796 permohonan daripada pekebun kecil persendirian di Sabah yang diluluskan sehingga kini.

“Permohonan diluluskan dengan keluasan 3,420.04 hektar, membabitkan peruntukan RM61.56 juta termasuk Sandakan sebanyak 34 permohonan dan keluasan 155.76 hektar melibatkan peruntukan RM2.8 juta,” katanya selepas merasmikan program santuni pekebun kecil sawit hari ini.

“Sabah menjadi penerima terbesar skim untuk kerja-kerja penanaman semula sawit kerana pada tahun lepas peruntukan disalurkan ke Sabah RM41 juta dan bagi tahun ini, setakat ini melebihi RM61 juta, inilah cara Madani bekerja.”

Terdahulu, Chan berkata, setakat 15 Okt lepas, 30,768 pekebun kecil di Sabah memperoleh Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MPSO), melibatkan keluasan 191,517.96 hektar sawit.

“Pelaksanaan MPSO bukan sekadar berupaya meningkatkan penerimaan pasaran global tetapi juga beri banyak manfaat kepada pekebun kecil seperti pengurusan Amalan Pertanian Baik, penjagaan alam sekitar termasuk peningkatan kualiti hasil,” katanya lagi.

Di samping itu, katanya, menerusi Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan RM120 juta bagi membela serta memperkasa kesejahteraan pekebun kecil komoditi negara termasuk sawit, getah, koko, lada dan kenaf.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.