Ibu Zayn Rayyan dijatuhi hukuman penjara 5 tahun

Ibu Zayn Rayyan dijatuhi hukuman penjara 5 tahun

Mahkamah Sesyen sebelum itu mendapati Ismanira Abdul Manaf bersalah mengabaikan anaknya itu.

Ismanira Abdul Manaf, 30, tiba di kompleks mahkamah Petaling Jaya bersama suaminya Zaim Ikhwan Zahari.
PETALING JAYA:
Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap ibu kepada kanak-kanak autistik berusia enam tahun, Zayn Rayyan Abdul Matiin, selepas didapati bersalah mengabaikan anaknya itu.

Hakim Syahliza Warnoh menjatuhkan hukuman ke atas Ismanira Abdul Manaf, 30, selepas mendengar hujahan daripada pihak pembelaan dan pendakwaan.

Mahkamah turut menolak permohonan Ismanira untuk penangguhan pelaksanaan hukuman, dengan alasan tiada keadaan istimewa yang membenarkannya.

Berlaku sedikit kekecohan dalam mahkamah selepas permohonan penangguhan hukuman ditolak apabila suami Ismanira, Zaim Ikhwan Zahari, menjerit ke arah pihak pendakwaan: “Semoga Allah melaknat kamu.”

Situasi itu bagaimanapun ditenangkan apabila ayahnya memeluk Zaim untuk cuba menenangkannya.

Ismanira turut diperintahkan untuk menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin serta deposit jaminan RM3,000.

Dia juga diarahkan menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan dari penjara.

Terdahulu, Syahliza memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes terhadap Ismanira melampaui keraguan munasabah.

Dalam alasan penghakiman, beliau berkata mahkamah tidak terikat dengan tafsiran atau definisi daripada mana-mana organisasi lain dalam menentukan maksud ‘pengabaian’.

Sebaliknya, katanya, sama ada sesuatu kesalahan itu berlaku atau tidak ditentukan berdasarkan fakta dan keterangan yang dikemukakan dalam perbicaraan.

Beliau juga menyatakan bahawa keterangan pakar psikologi kanak-kanak Dr Noor Aishah Rosli mengenai tingkah laku Zayn hanyalah pandangan yang tidak konklusif, kerana penilaiannya dibuat berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Ismanira sendiri.

Syahliza turut menyebut bahawa pembelaan Ismanira, yang mendakwa Zayn mempunyai ‘rutin tetap’ iaitu sentiasa berjalan di belakangnya, bercanggah dengan keterangannya sendiri serta keterangan saksi pembelaan lain.

“Mahkamah mendapati bahawa ia bukan satu rutin tetap dan tidak boleh diubah bagi si mati untuk sentiasa berjalan di belakang tertuduh,” kata hakim.

Beliau menambah, tindakan membiarkan kanak-kanak itu berjalan di belakang tanpa pengawasan adalah cukup yang membawa kepada kehilangan dan kematiannya.

Dakwaan pengabaian kanak-kanak itu dikemukakan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda maksimum RM50,000, atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, didakwa tahun lalu kerana mengabaikan anak mereka dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu berlaku di PJU Damansara Damai antara tengah hari 5 Disember 2023 ketika Zayn dilaporkan hilang dan 9.55 malam keesokan harinya, apabila mayatnya ditemui di anak sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai.

Zaim telah dibebaskan pada Julai lalu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.