Kami bersama Umno Sabah, tegas Zahid berkait kemelut politik negeri 

Kami bersama Umno Sabah, tegas Zahid berkait kemelut politik negeri 

Sebelum ini, Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin mengumumkan penarikan sokongan terhadap Ketua Menteri Hajiji Noor.

Ahmad Zahid Hamidi menyokong Umno Sabah walaupun berlaku kemelut politik membabitkan kerajaan pimpinan Hajiji Noor. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi gambaran mempertahankan tindakan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin yang menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Hajiji Noor.

Katanya, walau apa yang berlaku, Umno pusat sentiasa menyokong Umno Sabah.

“Malah apa yang berlaku mutakhir ini di Sabah, saya ingin membuat penegasan bahawa Umno pusat akan tetap bersama dengan Umno Sabah,” katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Terdahulu, berlaku kemelut politik di Sabah selepas Bung mengumumkan penarikan sokongan ADUN BN terhadap Hajiji yang juga ketua menteri.

Bagaimanapun, lima ADUN Umno Sabah enggan menuruti keputusan Bung, sekali gus menjurus kepada rombakan Jemaah Menteri Sabah dengan ADUN Lamag itu digugurkan sebagai timbalan ketua menteri.

Lima ADUN itu membabitkan Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Jasnih Daya (Pantai Dalit), James Ratib (Sugut), Yusuf Yacob (Sindumin) dan Arsad Bistari (Tempasuk).

Dalam rombakan Jemaah Menteri Sabah, pada 11 Jan, Shahelmey mengangkat sumpah timbalan ketua menteri dan menteri kerja raya, selain James memegang portfolio menteri pembangunan masyarakat dan kesejahteraan rakyat.

Bung dan Presiden Warisan Shafie Apdal mendakwa Jemaah Menteri Sabah ditunjangi Hajiji tidak melambangkan kerajaan perpaduan seperti dicadangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Zahid berkata, Umno kekal berpendirian Sabah dan Sarawak merupakan rakan politik strategik dalam pembentukan kerajaan pusat hari ini mahupun pada masa depan.

“Sehubungan itu, Perjanjian Malaysia 1963 atau lebih dikenali sebagai MA63, perlu dilaksanakan segera. Walaupun ada beberapa perkara pokok yang telah dilaksanakan, masih banyak perkara yang menjadi asas kepada MA63 perlu diterjemah pelaksanaannya,” katanya.

Katanya, pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur, kedudukan Sabah dan Sarawak akan menjadi lebih strategik untuk dibangunkan sebagai kawasan pertumbuhan baharu.

“Sejak 1963, Sabah dan Sarawak telah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, dan kini adalah masa terbaik untuk kita sama-sama memajukan Sabah dan Sarawak, seiring dengan perkembangan di keseluruhan kepulauan Borneo termasuk Kalimantan, Indonesia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.