
Menteri dalam negeri itu berkata, untuk itu beliau mahu media memberi ruang kepadanya kerana berpendapat adalah pramatang untuknya mengulas selagi belum mendapat laporan penuh pihak berkuasa.
“Adalah pramatang untuk saya beri sebarang jawapan dahulu. Saya diberi maklum, proses siasatan sedang dibuat, bagi ruang untuk saya dapat laporan penuh sebelum mengulas,” katanya lapor Berita Harian.
Saifuddin berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing, di Putrajaya.
Beliau ditanya sama ada pihak berkuasa sudah mengenal pasti keberadaan pasangan berkenaan dan status siasatan terkini insiden terbabit.
Terdahulu, gambar pasangan itu, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau dari puncak bangunan kedua tertinggi di dunia berkenaan dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com.
Pasangan itu dipercayai menggunakan dron untuk mengambil gambar dan memanjat tangga dari dalam menara untuk ke puncak.
Hari ini, Ketua Polis Dang Wangi Noor Delhan Yahaya memaklumkan, polis sudah memperoleh laporan analisis pemilik media sosial pasangan Russia itu.
Katanya, analisis forensik dijalankan ke atas video dimuat naik pasangan terbabit di media sosial selain bantuan daripada Jabatan Imigresen bagi mengesan kemasukan perjalanan keluar masuk pasangan Russia berkenaan ke Malaysia.