Polis siasat kenderaan pamer pelekat tulisan Hebrew

Polis siasat kenderaan pamer pelekat tulisan Hebrew

Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar berkata kertas siasatan dibuka selepas video papar kenderaan terbabit tular di media sosial.

truck with Hebrew wording
Tangkap layar video tular menunjukkan pelekat dengan tulisan Hebrew dipamerkan pada belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda.
PETALING JAYA:
Polis Melaka membuka kertas siasatan terhadap satu video tular yang memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang mempamerkan pelekat bertulisan Hebrew.

Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan pada 3.32 petang semalam daripada seorang lelaki yang juga pegawai khas agama kepada ketua menteri Melaka.

“Pengadu membuat laporan selepas melihat video berdurasi 14 saat yang tular di media sosial memaparkan sebuah kenderaan Isuzu dipasang pelekat bertulisan Hebrew di bahagian badan kenderaan terbabit.

“Siasatan awal mendapati tulisan terbabit membawa maksud ‘Malaysia adalah rumah kita/ Malaysia di tangan kami’,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, siasatan mendapati kenderaan itu didaftarkan atas nama seorang lelaki beralamat di Gemencheh, Negeri Sembilan.

“Susulan itu, polis membuka siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketakutan atau kegentaran awam.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan telekomunikasi,” katanya.

Dzulkhairi juga menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penyebaran video itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara telus.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.