
Perkara ini disahkan oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan surat pemakluman untuk diserahkan kepada Jabatan Veterinar telah dikeluarkan, menurut Ketua Polis Kajang Naazron Abdul Yusof.
“Pihak MPKj mengesahkan anjing itu tiada pemilik,” katanya, lapor Bernama.
“Mangsa yang sebelum ini dirawat di Hospital Kajang masih menerima rawatan di Wad Kanak-Kanak Hospital Putrajaya.”
Tular di media sosial sebelum ini video menunjukkan seorang kanak-kanak cedera parah selepas diserang seekor anjing ketika berbasikal berhampiran rumahnya di Batu 9.
Dalam kes berasingan, Naazron berkata, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang memanjat bumbung sebuah rumah dengan bersenjatakan pisau di kawasan perumahan di Semenyih.
Beliau berkata, setelah hampir empat jam dipujuk oleh pihak polis dan bomba, lelaki yang dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental itu berjaya ditahan dan dibawa ke Hospital Kajang.
Semakan mendapati lelaki itu mempunyai 26 rekod lampau termasuk penyalahgunaan dadah.
Naazron meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian agar menghubungi pegawai penyiasat Mohamad Khairie Ridhwan Azmi menerusi talian 011-36307974.