Video didakwa dedah identiti kanak-kanak disiasat, lelaki ditahan

Video didakwa dedah identiti kanak-kanak disiasat, lelaki ditahan

Polis siasat penularan video didakwa mengandungi unsur fitnah dan pendedahan identiti kanak-kanak.

Jauteh Dikun
Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun, nasihat orang ramai agar guna media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan dalam siasatan ke atas penularan video didakwa mengandungi unsur fitnah dan pendedahan maklumat identiti kanak-kanak, berkaitan kes Zara Qairina Mahathir.

Polis bertindak susulan laporan orang awam pada 13 Sept mengenai video tular di Facebook.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun, berkata lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes tersebut ditahan di Kota Kinabalu, Sabah pada 5.50 petang semalam.

“Turut dirampas daripada suspek adalah dua telefon bimbit,” menurut kenyataan.

Kes disiasat bawah Seksyen 203A dan 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 15 Akta Kanak-kanak, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa menggunakan media sosial secara berhemah serta bertanggungjawab, selaras prinsip undang-undang dan keharmonian masyarakat.

“Polis memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial yang melanggar undang-undang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.