Wanita dipenjara setahun muat naik sijil nikah palsu dengan kerabat diraja

Wanita dipenjara setahun muat naik sijil nikah palsu dengan kerabat diraja

Tukang urut Persana Avril Sollunda, 43, diperintah dipenjara mulai tarikh tangkap 18 Jun.

Persana Avril Sollunda
Persana Avril Sollunda, 43, dijatuhi hukuman penjara setahun setelah menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan kes hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang tukang urut wanita dipenjara setahun oleh Mahkamah Sesyen kerana memuat naik hantaran video dan gambar sijil nikah palsu dengan seorang kerabat diraja Februari lepas.

Hakim Suhaila Haron menjatuhkan hukuman itu selepas Persana Avril Sollunda, 43, menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan kes hari ini.

Dia diperintah menjalani tempoh penjara bermula dari tarikh tangkap 18 Jun, lapor Bernama.

Mengikut tuduhan, wanita itu didakwa membuat dan memulakan penghantaran gambar dalam sebuah video palsu di aplikasi TikTok melalui akaun “king.charles.ratu” yang memaparkan sijil pernikahan palsu antara seorang kerabat diraja dan Crown Princess Ratu Shana dengan niat mengganggu orang lain pada 25 Feb.

Hantaran itu kemudian dibaca pada 10 pagi 26 Feb di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Dia juga boleh didenda RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira faktor kesalahan dilakukan adalah serius dan mengganggu institusi diraja.

Beliau berkata, perbuatan itu memberi kesan meluas kepada masyarakat kerana hantaran tersebut ditularkan orang ramai dan mengganggu keharmonian institusi diraja.

“Mohon hukuman berbentuk penjara sebagai langkah pencegahan agar menjadi pengajaran kepada orang ramai dan tertuduh supaya berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu perbuatan,” katanya.

Peguam Noor Svetlana Mohd Noordin memohon hukuman sewajarnya atas alasan wanita itu mengalami trauma kesan perkahwinan terdahulu dan sering mendapatkan rawatan kesihatan mental.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.