Kementerian Wilayah Persekutuan kini dikenali Jabatan Wilayah Persekutuan

Kementerian Wilayah Persekutuan kini dikenali Jabatan Wilayah Persekutuan

Ia diletakkan bawah pentadbiran Jabatan Perdana Menteri.

Kementerian Wilayah Persekutuan ditubuhkan pada 1979 yang berperanan mengkoordinasi pembangunan Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
PETALING JAYA:
Kementerian Wilayah Persekutuan kini distruktur semula dan dikenali sebagai Jabatan Wilayah Persekutuan, kata Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Katanya, ia kini diletakkan bawah pentadbiran Jabatan Perdana Menteri.

“Sesi taklimat kepada perdana menteri disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Rosida Jaafar berkaitan struktur terkini pentadbiran Jabatan Wilayah Persekutuan di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pagi ini,” katanya di Facebook.

Zuki berkata, sebaik selesai taklimat itu beliau bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghadiri majlis interaksi Wilayah Persekutuan.

“Majlis ini merupakan platform antara pengurusan tertinggi Jabatan Wilayah Persekutuan dengan Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan bagi membincangkan isu kritikal serta cadangan pelaksanaan dasar pembangunan demi kesejahteraan rakyat khususnya di Wilayah Persekutuan.

“Kedua-dua majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM Solehuddin Alyubi, Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah, Presiden Perbadanan Putrajaya Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pengarah Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata, kerajaan mengambil “langkah tepat” tidak kembali mewujudkan Kementerian Wilayah Persekutuan memandangkan fungsinya yang bertindih.

Dalam pada itu, Pengerusi Save Kuala Lumpur Coalition (SKL), M Ali, bersetuju bahawa ada pertindihan peranan membabitkan Kementerian Wilayah Persekutuan dan sepatutnya “ditiadakan sementara” bagi penjimatan kos, selain mengelak fungsi bertindan.

Kementerian Wilayah Persekutuan ditubuhkan pada 1979 yang berperanan mengkoordinasi pembangunan Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Ia kemudian dimansuhkan pada 1987 dengan peranannya diambil alih Jabatan Pembangunan Wilayah Persekutuan, namun dihidupkan semula pada 2004 oleh perdana menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi, bagi memberi tumpuan kepada Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Sebelum ini, Anwar juga tidak menamakan menteri Wilayah Persekutuan ketika mengumumkan senarai Jemaah Menteri pada 2 Dis lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.