Perpustakaan Desa Bukit Kerayong bukan sekadar tempat baca buku

Perpustakaan Desa Bukit Kerayong bukan sekadar tempat baca buku

Perpustakaan desa memainkan peranan lebih besar menghubungkan masyarakat dengan ilmu dan semangat perpaduan.

Terletak kira-kira 23km dari Klang, Perpustakaan Desa Bukit Kerayong dibina bagi memastikan penduduk luar bandar tidak ketinggalan menikmati kemudahan ilmu.
KLANG:
Perpustakaan Desa (PD) Kampung Bukit Kerayong, Kapar, jarang sunyi daripada kunjungan kerana hampir setiap minggu dipenuhi aktiviti yang menghidupkan suasana, daripada bengkel kemahiran sehingga acara komuniti setempat.
Faniza Akmal Muhaiyiddin.

PD ini sentiasa meriah dengan aktiviti, termasuk penganjuran pelbagai bengkel kemahiran dan program pembelajaran yang membantu penduduk menjana pendapatan sampingan.

Penolong Pustakawan, Faniza Akmal Muhaiyiddin, berkata sejak dibuka pada Februari 2010, PD itu berkembang menjadi ruang sosial dan ekonomi masyarakat setempat.

“Perpustakaan desa tidak lagi dihadkan setakat untuk membaca. Sekarang kita lebih kepada aktiviti sosial yang boleh menjana pendapatan, tingkatkan ekonomi komuniti setempat.

Perpustakaan Desa Bukit Kerayong-Gubah Bunga
Bengkel gubahan bunga diadakan di Perpustakaan Desa Kampung Bukit Kerayong mendapat sambutan menggalakkan.

“Kita buat bengkel gubahan bunga orkid, sabun mandian berasaskan daun bidara sama ada untuk jualan atau kegunaan sendiri, sempena cuti sekolah akan ada program dan ia dapat sambutan anak-anak serta ibu bapa,” katanya kepada FMT.

Terletak kira-kira 23km dari Klang, PD ini dibina untuk memastikan penduduk luar bandar tidak ketinggalan menikmati kemudahan ilmu.

Mohd Azmi Aziz.

Ia juga menawarkan kelas membaca percuma kepada kanak-kanak berusia empat hingga lima tahun dua kali seminggu.

Pengarah Prasarana Ilmu dan Maklumat Perpustakaan Negara (PNM), Mohd Azmi Aziz, berkata PD kini memainkan peranan lebih besar bukan sekadar ruang membaca.

Katanya, PNM di bawah Kementerian Perpaduan Negara memberikan tumpuan kepada memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat dan secara tidak langsung PD memainkan peranan penting dalam integrasi sosial di kawasan luar bandar.

Perpustakaan Desa Bukit Kerayong-kelas membaca
Pustakawan mengajar murid prasekolah membaca buku.

“PD menjadi titik sentuh kerajaan Madani dan Kementerian Perpaduan Negara kepada masyarakat luar bandar.

“Daripada ruang membaca, PD bawah seliaan PNM menjadi pusat komuniti luar bandar yang menghubungkan masyarakat dengan ilmu, peluang dan semangat perpaduan,” katanya bertanggungjawab memantau 506 PD di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.