
Beliau juga menekankan segala masalah dalam persekutuan boleh diselesaikan menerusi semangat kekeluargaan yang manfaatnya akan dinikmati setiap lapisan masyarakat.
“Kita doakan negara terus aman dan mempunyai rakyat berbilang kaum serta agama yang dapat hidup dalam keadaan sejahtera, tentu sekali dengan keadaan sedemikian kita dapat memikir bagaimana memajukan negara ke arah lebih baik.
“Memang dalam persekutuan ini, orang kata sedangkan lidah lagi tergigit, perkara kecil boleh diselesaikan dalam semangat keluarga Malaysia.
“Jadi kalau Sarawak kuat, Malaysia akan lebih hebat,” katanya berucap pada majlis komuniti bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Kuching, semalam.
Kenyataan Abang Johari menyusul ketika syarikat minyak negara Petronas dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) masih dalam proses rundingan berhubung urus tadbir baharu gas.
Sarawak mahu Petros bertindak sebagai pengagregat tunggal gas — membeli daripada pengeluar huluan dan menjual semula di peringkat hiliran.
Langkah itu akan memberinya pengaruh besar dalam penetapan harga dan dasar, namun penganalisis memberi amaran ia mungkin tidak mampan dari segi struktur.
Bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, mengingatkan Parlimen Akta Kemajuan Petroleum (PDA) 1974 menetapkan kerangka undang-undang utama bagi industri petroleum Malaysia dan tindakan mengetepikannya boleh menimbulkan pertindihan bidang kuasa serta ketidaktentuan pelabur.
Anwar pada majlis sama pula berkata, kestabilan politik termasuk dengan kerajaan Sarawak membolehkan kerajaan dapat menarik pelaburan dengan meningkatkan keyakinan industri.
“Kestabilan politik itu kerana kekuatan kerjasama yang ada sebab itu sekali lagi saya ucap terima kasih kepada saudara (Abang Johari) kerana sepanjang tiga tahun jadi perdana menteri, memberikan kekuatan dan sokongan,” katanya.